Isnin, 20 Mac 2017

‘Pembeli Forest City China terperangkap dengan kawalan modal’

MALAYSIAKINI
 

Pelabur dari tanah besar China yang membuat bayaran pendahuluan untuk membeli hartatanah dalam pembangunan Forest City kini terperangkap dengan dasar kawalan modal China.

Menurut South China Morning Post, pembeli gagal mendapatkan pinjaman daripada bank-bank China mahupun memindahkan dana mereka ke luar negara untuk membuat bayaran.

Adalah dilaporkan, bayaran yang dibuat kepada akaun di Hong Kong juga ditolak.

Ini mendorong pembeli untuk cuba mendapatkan bayaran balik bayaran deposit mereka, tetapi tidak berjaya, lapor akhbar dari Hong Kong itu.

"Sekarang kami difahamkan semua ansuran lanjut perlu dibayar di luar negara. Tetapi ini tidak dibenarkan kerana kawalan pertukaran asing oleh kerajaan China," kata seorang pembeli hartanah di Forest City, Vicky Wu dari Guangzhou.

"Jika kita berbuat demikian, kita akan dimasukkan dalam senarai hitam kerajaan," katanya.

Pusat jualan syarikat itu di beberapa bandar besar di China juga telah ditutup untuk "pengubahsuaian" awal bulan ini, tetapi wakil pemaju Forest City, Country Garden menafikan ia berkaitan dengan kawalan modal Beijing, lapor SCMP.

Country Garden adalah pemaju ketiga terbesar di China.

Seorang pembeli dilaporkan memberitahu akhbar berkenaan, beliau dimaklumkan pembelian apartmen di Forest City akan memberi peluang kepada keluarganya untuk menjadi penduduk tetap sebuah negara lain.

Tiada ulasan: