Isnin, 20 Mac 2017

Anggota polis patah kaki kiri dirempuh penjenayah


Seorang anggota polis berpangkat koperal patah kaki kiri selepas dirempuh seorang penjenayah yang melanggar sekatan lalu lintas ketika cuba melarikan diri di susur jalan menghala ke Taman Perindustrian Plentong, di Johor Bahru semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Jokhiri Abd Aziz berkata kejadian bermula jam 2.30 petang ketika dua anggota polis yang membuat rondaan terserempak dengan kereta Proton Wira dipandu seorang suspek blelaki berusia 30 tahun di Jalan Perak, di Pasir Gudang.

"Lelaki itu memecut laju apabila diarahkan berhenti dan turut menyembur diesel ke arah kenderaan pelbagai guna (MPV) polis menggunakan salur getah yang disambung kepada dua tong yang diubahsuai dalam kereta dipandunya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek itu kemudian memandu melalui Jalan Pasir Gudang menghala ke Taman Johor Jaya dan apabila sampai di lokasi kejadian, suspek itu merempuh seorang daripada empat anggota polis yang melakukan sekatan bersama dua kenderaan MPV polis bagi menahannya.

Beliau berkata semasa rempuhan berlaku, anggota polis tersebut yang berada di tepi jalan sempat melepaskan satu das tembakan ke bahagian hadapan kereta suspek, lelaki itu berjaya memecut kenderaannya menuju ke arah Taman Johor Jaya sambil dikejar sebuah kereta MPV polis.

Katanya, berlaku kemalangan antara kereta suspek dan kereta MPV polis apabila sampai di satu persimpangan di Jalan Rosmerah 2/11, Taman Johor Jaya, berhampiran sebuah bank, yang menyebabkan kedua-dua kenderaan terhenti.

Suspek yang dalam keadaan cemas kemudian bertindak agresif dengan cuba menyerang polis sambil memegang sebatang besi.

"Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan yang terkena pada pinggang suspek. Lelaki itu yang masih mampu bergerak cuba berlari melarikan diri, namun, berjaya ditahan di kaki lima bank tersebut selepas bergelut dengan polis," katanya.

Menurut Jokhiri, pemeriksaan mendapati kereta yang digunakan suspek dilaporkan hilang di Skudai.

"Suspek turut memiliki 10 rekod jenayah termasuk menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas, curi kenderaan serta dadah.

Katanya, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

Katanya, keadaan anggota polis berusia 33 tahun yang cedera dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan kini stabil dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).- Bernama

Tiada ulasan: