ANTARAPOS.COM
JOHOR BAHRU: Hujan lebat yang berlaku petang semalam menyebabkan sebuah
jambatan di Parit Markom yang merentasi Sungai Pinggan, dekat Pontian,
runtuh pagi tadi.
Pegawai Daerah Pontian On Jabbar berkata, kejadian yang berlaku
kira-kira pukul 10.45 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang
kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Berdasarkan pemeriksaan awal, hujan lebat dan tekanan sampah-sarap di
sungai itu dipercayai antara faktor berlakunya runtuhan pada jambatan
konkrit sepanjang 100 meter yang dibina sejak tahun 1970-an itu,”
katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
On berkata runtuhan itu tidak menjejaskan penduduk yang tinggal di
kira-kira 70 rumah di Kampung Parit Markom memandangkan jambatan
berkenaan merupakan laluan alternatif dan jalan pintas ke bandar
Pontian.
Beliau berkata pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah melakukan
pemantauan dan jambatan terbabit kini ditutup sebagai langkah
keselamatan orang ramai.
“Berikutan kejadian ini, pihak kami sudah memohon peruntukan Kecemasan
Bencana kepada kerajaan persekutuan menerusi Ahli Parlimen Pontian Datuk
Ahmad Maslan yang dijangka melawat kawasan kejadian pada 6.30 petang
ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan