Hidayat Yusof, |
|
Ini adalah komen ringkas berkenaan etika media dalam menyampaikan suatu mesej ataupun berita terutama mengenai politik. Bila menyebut tentang etika, ia berkait rapat dengan budaya sesetengah masyarakat. Ianya adalah mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam masyarakat tersebut atas sebab kebiasaan atau ritualnya seperti itu.
Sebagai contoh budaya di negara-negara Barat, kebebasan media adalah dititik beratkan atas faktor demokrasi yang diperjuangkan. Demokrasi yang terdapat padanya amalan kebebasan bersuara atau mengenengahkan pendapat menjadikan negara-negara Barat begitu sensitif terhadap pencabulan hak-hak kebebasan ini. Walaupun secara kasar ianya nampak begitu baik kerana media diberikan tempat yang seluas-luasnya dalam menyampaikan maklumat, tetapi malangnya ia juga menjurus ke arah mencabuli hak individu atau kumpulan yang lain. Kebebasan untuk membuat liputan ini adalah hingga merangkumi aspek peribadi seseorang sampaikan mengkritik keperibadian individu juga dibenarkan. Ia adalah merupakan "kebebasan dalam mencabuli hak privasi orang lain". Sehinggakan seorang ilmuan membawa datang suatu konsep "empowerment" yang mana beliau takrifkan sebagai "kemampuan melakukan sesuatu yang difikirkan baik". Hal ini adalah subjektif kerana belum tentu seuatu yang difikirkan baik oleh seseorang itu adalah juga baik kepada seseorang yang lain.
Kemudian kita lihat pula kepada konsep "ahimsa" yang dibawa oleh Ghandi dalam memperjuangkan hak masyarakat di India. Bersesuaian dengan adat ketimuran, ia begitu menjaga sensitiviti setiap individu dengan melarang penyerangan peribadi seseorang samada berbentuk fizikal mahupun emosi. Dalam konsep "ahimsa" ini juga menerangkan bahawa penderaan terhadap seseorang individu itu bukan sahaja berlaku pada apa yang kelihatan sahaja, malah ia juga diambil kira kepada kesan psikologi yang dihadapi seseorang itu jika pencabulan haknya dilakukan. Konsep ini begitu berbeza dengan budaya Barat yang sentiasa menjuarai amalan budaya mereka yang sentiasa dianggap paling betul.
Itulah dua contoh perbezaan budaya yang dapat kita lihat dalam penggunaan media. Saban hari kita sering terlihat laporan media terutama berkenaan politik semasa yang begitu lantang membuat liputan tanpa menghiraukan moraliti atau etika sepertinya tidak wujud satu garis panduan yang jelas dalam membimbing kepada arus yang satu.
Maka Islamlah yang sepatunya dijadikan tempat rujukan utama dalam menyelesaikan hal ini kerana Islam telah pun menggariskan panduan yang bersesuaian dengan semua masyarakat yang wujud. Islam secara moderate-nya tidak menentang amalan demokrasi iaitu kebebasan yang diperjuangkan, malah ia menyokong hak-hak manusia supaya sentiasa terpelihara dan tidak pula dieksploitasi dan dimanipulasi. Maka oleh itu Islam tidak juga menyokong sepenuhnya amalan tersebut seperti pemikiran Barat yang membenarkan apa sahaja yang difikirkan enak.
Tidak juga seperti konsep "ahimsa" yang langsung tidak membenarkan ruang untuk mengkritik individu kerana ingin menjaga perasaannya, tetapi Islam memperjuangkan keadilan sejagat yang membenarkan melaporkan dan mengkritik amalan-amalan atau tindakan ynag membawa kepada kezaliman dan merugikan umat keseluruhannya. Maka peranan media dalam Islam adalah perlu menghebahkan setiap kecurangan atau perkara sumbang yang dilakukan seseorang individu terutama pemimpin masyarakat.
Ia bukanlah dengan membuka aib tentang sifat buruk individu terbabit seperti suka bersembang, suka bermain video game dan sebagainya. Ia tidak boleh berkaitan dengan tabiat peribadinya, tetapi mestilah berkenaan dengan amalan yang mana jika dibiarkan akan merugikan umat yang lain atau menjahanamkan agama dan bangsa, sebagai contoh laporan mengenai pemimpin yang rasuah, penyelewengan kuasa dan kegagalan dalam mengurus tadbir negara dan kezaliman lain yang dilakukan.
Sebagai kesimpulannya, etika dalam media adalah sangat penting terutama dalam melaporkan tentang aktiviti politik semasa. Tetapi ia mestilah mempunyai suatu garis panduan yang jelas. Bukanlah semata-mata mengikut atau melakukan apa sahaja yang difikirkan baik, atau menutup mata terhadap kecurangan yang berlaku seperti apa yang ditekan dalam konsep "ahimsa" , tetapi Islam secara jelas membawa konsep Keadilan sejagat dengan menjaga hak-hak manusia yang lainnya dan memperjuangkan kebenaran dengan menolak amalan yang menjatuhkan martabat Islam itu sendiri, wallahua'lam..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan