Ahad, 18 November 2012

P.Pinang Tingkatkan Biasiswa Kecil RM600 dan RM800Setahun




SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk menaikkan Bantuan Biasiswa Kecil sebanyak RM120 setahun yang diperuntukkan kepada pelajar miskin di sekolah menengah bagi membantu membiayai pembelajaran mereka.

Kenaikan itu menjadikan bantuan meningkat daripada RM 480 kepada RM 600 setahun untuk Tingkatan 1 hingga 3 dan RM 720 kepada RM 840 untuk Tingkatan 4 dan 5.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya menjelaskan, kenaikan itu bertujuan menampung keperluan pembelajaran pelajar miskin untuk membeli buku kerja dan rujukan serta keperluan harian yang kian meningkat kosnya dari tahun ke tahun.

Jelasnya lagi, kenaikan itu juga menyebabkan perbelanjaan tahunan Kerajaan Pulau Pinang meningkat kepada RM 2 juta pada 2013.

“Demi memastikan kuasa beli dapat dikekalkan bagi pelajar miskin, Kerajaan Negeri mengambil keputusan menaikkan RM 120 setahun atau di antara kenaikan 17% hingga 25%. Pembayaran (bantuan biasiswa) kepada pelajar-pelajar miskin di sekolah menengah adalah paling tinggi di antara semua negeri di Malaysia.

“Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) hanya berkemampuan menaikkan bayaran kerana mendapat lebihan Bajet Negeri setiap tahun sejak 2008. Kejayaan Bajet surplus ini dicapai sungguhpun perbelanjaan telah bertambah di bawah PR sebanyak 55% berbanding dengan kerajaan lama.

“Ini menyangkal tuduhan liar pihak tertentu bahawa Bajet surplus dicapai hanya kerana Kerajaan Negeri kurangkan perbelanjaan,” katanya.

Dianggarkan seramai 2,567 pelajar daripada 123 buah sekolah di Pulau Pinang akan menerima manfaat daripada kenaikan Bantuan Biasiswa Kecil Negeri ini. Sebahagian besar dari pelajar tersebut adalah pelajar melayu.

Pemilihan penerima adalah diproses melalui sistem komputer dalam talian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berasaskan merit, kedudukan kewangan keluarga dan kegiatan ko-kurikulum.

Pejabat Pelajaran Pulau Pinang kemudiannya akan memperakukan senarai nama pelajar yang layak menerima bantuan ini kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

Mana-mana keluarga di Pulau Pinang yang (nama anak) tercicir daripada senarai ini boleh menghubungi Pejabat Daerah atau Adun PR berhampiran untuk dipertimbangkan.

Tiada ulasan: