Shahbudin Husin
Isu
yang melibatkan Nazri Aziz, menteri yang bertanggungjawab terhadap
undang-undang, Parlimen dan SPRM dengan usahawan balak Michael Chia,
terus memanaskan suhu politik negara dengan pelbagai pendedahan baru
hari demi hari.Isu ini bermulanya dengan jawapan Nazri di Parlimen
berkaitan Michael yang pernah ditahan di Hong Kong kerana membawa wang
tunai RM40 juta yang didakwa untuk diberikan kepada Musa Aman, Ketua
Menteri Sabah.
Jawapan Nazri di Parlimen yang menyebut Michael tidak
terlibat dengan apa-apa kesalahan kerana wang itu sebenarnya adalah
untuk diberikan kepada UMNO Sabah, bukannya Musa Aman secara peribadi,
akhirnya mengundang petaka yang tidak berkesudahan.
Jawapan
Nazri itu, dan kemudian diikuti dengan kenyataan Najib pula bahawa
tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana parti politik menerima
sumbangan, walaupun dilihat cuba membersihkan Musa Aman dan Michael Chia
namun kekotoronnya berpindah pula kepada Nazri (gambar) kemudiannya.
Sebelum
itu Suaram diserang dengan dakwaan menerima wang daripada Soros tetapi
dengan pengesahan Najib bahawa parti politik dibolehkan menerima wang
sumbangan, bahkan UMNO Sabah sudah pun menerima RM40 juta, ludahan UMNO
ternyata memercik ke muka sendiri.
Kekotoran
yang cuba dibersihkan daripada Michael Chia dan Musa Aman mulai
berpindah kepada Nazri berikutan pendedahan yang dibuat oleh Raja Petra
Kamaruddin bahawa Nazri didakwa telah menerima sejumlah wang daripada
Michael Chia dan pemberian seebuah kereta mewah untuk kegunaan
keluarganya.
Walaupun
Nazri kemudiannya menafikan dakwaan Raja Petra itu tetapi ia kembali
panas apabila Rafizi kemudiannya mendedahkan maklumat bergambar
berkaitan sebuah kereta mewah jenis Hummer yang didakwa kepunyaan
Michael Chia tetapi digunakan oleh anak lelaki Nazri, Mohd Nedim.
Nazri
kemudiannya tidak menafikan perkara itu tetapi menyifatkan ianya urusan
antara anaknya dengan Micahel Chia dan perlu ditanya kepada anaknya.
Dalam masa yang sama Nazri juga mengakui Michael Chia adalah kenalan
rapatnya.
Dengan langkah terbaru Rafizi melaporkan kepada SPRM kaitan hubungan Nazri dan anaknya dengan Michael Chia serta isu wang RM40 juta sebelum ini, Nazri kini menjadi sasaran panas lampu sorot pembangkang menjelang pilihanraya umum akan datang ini.
Dengan langkah terbaru Rafizi melaporkan kepada SPRM kaitan hubungan Nazri dan anaknya dengan Michael Chia serta isu wang RM40 juta sebelum ini, Nazri kini menjadi sasaran panas lampu sorot pembangkang menjelang pilihanraya umum akan datang ini.
Soal sama
ada Nazri bersalah atau tidak bukanlah menjadi isu penting tetapi
intergriti kerajaan dan pemimpin UMNO sekali lagi diragui umum. Selepas
Shahrizat yang dikaitkan dengan isu lembu NFC, isu melibatkan Nazri
ini sekali lagi menghenyak reputasi UMNO sekaligus menguji wibawa Najib
selaku Perdana Menteri.
Jika dalam
isu Shahrizat, kelambatan Najib bertindak dan membiarkan pendedahan
demi pendedahan dibuat melalui media sehingga hampir menjahanamkan nama
baik UMNO dan Najib sendiri, isu Nazri ini juga jika dibiarkan pasti
memberi kesan buruk yang serupa.
Dalam
suasana pilihanraya hampir tiba dan persepsi harus dikawal, meletusnya
isu Nazri ini tidak lebih bakal menjadi beban baru kepada UMNO dan
Najib jika dibiarkan menjadi perbicaraan di media.
Nazri,
seorang peguam dan memang diakui petah berhujah. Logik bicara dalam
setiap perkara sentiasa ada. Tetapi dengan pelbagai pendedahan yang
dibuat terhadap diri dan anak lelakinya, persepsi umum terhadap beliau
sudah sukar diperbaiki. Jika dibiarkan ia pastinya melarat dan
memburukkan sama nama UMNO serta Najib.
Walaupun
Nazri cuba bersilat dan berhujah, persepsi umum ialah tidak mungkin
Michael Chia memberikan kereta mewah itu kepada Mohd Nedim jika dia
bukan anak Nazri.
Jika dalam
isu Shahrizat, Nazri pernah meminta Shahrizat memulangkan kembali wang
RM250 juta yang menjadi isu itu, kini giliran Nazri pula membuktikan
keikhlasannya sebagai pemimpin.
Beliau
perlu melakukan sesuatu untuk membersihkan namanya, nama UMNO dan nama
kerajaan. Mungkin beliau perlu mengambil cuti bagi membolehkan siasatan
dijalankan terhadap diri dan keluarganya. Dan dengan Rafizi akan
berlepas ke Hong Kong minggu depan untuk bersemuka dengan Suruhanjaya
Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) bagi mendapatkan lebih banyak
maklumat tentang penahanan Michael Chia, adalah dijangka lebih banyak
maklumat baru akan terdedah.
Dan isu
yang melibatkan Nazri ini tentunya akan terus memeningkan kepada
bossnya sendiri, Najib Razak. Dengan pelbagai isu sedia ada sudah cukup
memeningkan Najib, isu Nazri ini tentu menyebabkannya migrain pula.
Jika Nazri
tidak mahu berkorban atau mengambil cuti, Najib pastinya akan didesak
untuk mengambil sesuatu tindakan pula. Wibawa Najib sekali lagi akan
diuji. Pengajaran daripada isu lembu NFC yang melibatkan Shahrizat akan
dijadikan asas serta hujah untuk memaksa Najib bertindak lebih pantas
sebelum keadaan menjadi bertambah parah.
Dalam masa
yang sama, umum juga tentunya menunggu komen Tun Mahathir mengenai isu
Nazri ini. Sejak Mahathir bersara pada 2003, Nazri sudah menjadi musuh
tidak rasmi kepada Mahathir terutama dalam kritikannya kepada Pak Lah
dulu. Sebagaimana dalam isu AP yang melibatkan Rafidah Aziz dan NFC
yang melibatkan Shahrizat, pandangan Mahathir dalam isu Nazri sudah
boleh dijangka arah tujunya.
Dalam hal
ini Najib perlu menangani isu Nazri ini sebelum Mahathir bersuara. Jika
selepas Mahathir bersuara, yang sudah boleh diagak tidak akan
menyebelahi Nazri, kesannya tentu terkena kepada Najib juga.
Najib sekali lagi akan dilihat sebagai pemimpin yang lemah, tidak tegas dan kurang berwibawa.
Meletusnya
isu Nazri Aziz ini tidak lain menunjukkan kepada umum satu lagi bukti
bahawa pemimpin UMNO tidak mungkin akan berubah walaupun laungan
perubahan itu diucapkan saban hari. Persepsi rakyat berikutan
meletusnya isu ini hanya menambahburukkan lagi wajah UMNO dan para
pemimpinnya. Harapan UMNO untuk mempertahankan kuasa dengan pemimpin
yang sedia ada, tampak menjadi semakin sukar.
Sementara
harapan untuk menang dengan bergaya semakin pudar berikutan pelbagai
isu dan kemelut yang muncul silih berganti, tetapi wibawa dan
keberanian Najib dalam menangani isu Nazri ini tetap dituntut kerana
kegagalan berbuat demikian hanya akan menyebabkan kekalahan yang lebih
parah bakal diterima.
Penulis
pernah menjadi wartawan
beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an,
pernah juga berkhidmat di MARA. Pada
tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha
Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan,
Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi
Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian
Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua
buah buku politik bertajuk Najib PM
Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan
Najib.Beliau memiliki laman blog di
shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan