Rabu, 14 November 2012

Gembira cuti bertukar tragedi, 3 beranak dan pembantu rumah maut

NURUL MAZWANA HAMDAN

tukar tragedi, 3 beranak dan pembantu rumah maut
Keadaan rumah banglo dua tingkat yang hangus di bahagian atas.
 
Gembira cuti bertukar tragedi, 3 beranak dan pembantu rumah maut
Orang ramai dan ahli keluarga yang hadir ketika upacara pengebumian jenazah tiga beranak itu.
 
Gembira cuti bertukar tragedi, 3 beranak dan pembantu rumah maut
Tangga utama rumah berkenaan yang terbakar dan menyebabkan keempat-empat mangsa terperangkap.

TAIPING – Kegembiraan seorang bapa meraikan anak pulang bercuti bertukar pilu apabila anak kesayangan, menantu, seorang cucu dan pembantu rumahnya maut dalam kebakaran di Assam Kumbang di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah malam itu, akauntan di Royal Bank of Scotland di Kuala Lumpur, Mohd Hakimi Zubair, 40, dan isterinya seorang pakar teknologi maklumat, Leila Sahak, 40, serta anak bongsu mereka, Ahmad Faris, 3, juga pembantu rumah mereka yang dikenali sebagai Rizki, warga Indonesia, maut dalam kebakaran banglo dua tingkat itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.24 tengah malam sebelum 13 anggota bersama tiga jentera dari balai bomba di sini dan Kamunting bergegas ke tempat kejadian.

“Operasi ini berakhir jam 2.05 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa dipercayai maut akibat sesak nafas selepas terperangkap di dalam asap tebal.

“Seorang mangsa ditemui di pintu keluar menuju ke balkoni rumah, manakala tiga lagi ditemui di bilik tidur utama. Ketika bomba tiba, rumah itu sudah 50 peratus terbakar. Kebakaran dipercayai bermula dari tingkat atas,” katanya.

Tiga lagi anak pasangan itu, Lokman Hafiz, 13, Ain Najwa, 11 dan Aizad Fahmi, 8, serta bapa Hakimi, Zubair@Rubir Puteh, 73, dan adik Hakimi, Rozita, 31, terselamat.

Menurutnya, mereka berada di tingkat bawah ketika kebakaran dan sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu juga tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya.

Bapa mangsa, Zubair berkata, dia tidak menyangka keputusan anaknya menambah cuti semata-mata berhajat makan kuey tiaw kombat kegemaran mereka sekeluarga, berakhir tragedi.

“Mereka sempat makan dan pak cik juga ada belikan sate 50 cucuk untuk dimakan bersama pada malam kejadian,” katanya.

Zubair ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Taiping memberitahu, pada malam kejadian, dia bersama tiga lagi cucu iaitu, Lokman Hafiz, Ain Najwa, dan Aizad Fahmi tidur di bahagian bawah.

Menurutnya, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat dari arah tangga utama rumah menyebabkan kesemua mangsa terperangkap dan gagal diselamatkan.

“Pakcik bersama tiga lagi cucu berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Zubair yang juga pesara guru, sebelum ini tinggal bersama anak bongsunya, Rozita, 31, namun ketika kejadian anak bongsunya berada di wad sebuah hospital swasta akibat masalah kesihatan.

Walaupun reda dengan pemergian anak, menantu dan cucunya, Zubair tetap sedih kerana percutian anaknya sekeluarga bertukar tragedi.

Ketiga-tiga mangsa selamat disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah Assam Kumbang sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Tekah, di sini.

Sementara itu, Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang turut hadir menziarahi keluarga mangsa akan meminta pihak hospital menghubungi  kedutaan Indonesia bagi menguruskan jenazah pembantu rumah terbabit.

Kali terakhir jumpa Aidiladha

Sementara itu, ibu Leila, Hadijah Mongin, 62, berkata, dia pasrah dengan kejadian menimpa anak, menanti dan cucunya selepas kali terakhir bertemu mereka ketika sambutan Aidiladha lalu.

Hadijah berkata, selepas bertemu pada Aidiladha di Kampung Jambatan Duyong, Melaka, dia tidak lagi berjumpa mahupun berhubung dengan anaknya itu sehinggalah dimaklumkan arwah maut dalam kebakaran di rumah bapa mertuanya jam 2.30 pagi semalam.

“Selepas menerima panggilan, kami semua bergegas ke sini untuk melihat jasad arwah buat kali terakhir,” katanya.

Menurutnya, disebabkan keluarga sebelah menantunya tidak mempunyai nenek lagi, dia berhasrat menjaga tiga cucunya itu.

“Mereka memang rapat dengan mak cik dan mak cik akan berbincang dengan ahli keluarga serta anak-anak untuk menjaga tiga beradik ini,” katanya.

Hadijah berkata, arwah Leila adalah anak sulung daripada enam beradik.

“Dia memang seorang yang bertanggungjawab dan rapat dengan adik-adik. Mak cik tak sangka kejadian seumpama ini boleh berlaku kepada mereka sekeluarga,” katanya.

Tiada ulasan: