Ahad, 11 November 2012

BN masih gagal bela masyarakat India – M. Kulasegaran


 

Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Statistik yang didedahkan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran di Parlimen baru-baru ini yang menunjukkan hampir 70 peratus masyarakat India negara ini berpendapatan di bawah RM700 sebulan amat mengejutkan.

 Menurut Kulasegaran, berbanding dengan kaum lain, masyarakat India negara ini mempunyai kadar tertinggi dalam pengangguran, bunuh diri, jenayah, ketagihan alkohol, keciciran di sekolah malah tidak mempunyai kerakyatan.

“Ramai mereka yang hidup dalam keadaan sangat daif dan situasi yang berlaku kini mereka seolah-olah dipinggirkan dan menjadi warga kelas ketiga di Malaysia,

“Semua ini menunjukkan dasar diskriminasi terhadap kaum India oleh kerajaan BN,” ujar beliau.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Perak menempelak penjelasan Dato’ Devamany kononnya BN mengambil inisiatif ekonomi seperti penubuhan pasukan petugas khas yang dikepalai Menteri Datuk Seri Subramaniam, sambil menambah bahawa dasar tersebut sekadar bersifat ad-hoc (sementara) sahaja.

“Mereka melakukannya hanya untuk mendapatkan undi orang India sahaja. Kerajaan yang bijak dan prihatin akan membuat dasar jangka panjang dan mampu dilaksanakan secara menyeluruh,” ujar beliau.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan telah menunda sasaran pemilikan ekuiti 3 peratus oleh masyarakat India sehingga tahun 2020 sedangkan mereka telah mengumumkan sasaran tersebut akan tercapai pada tahun 2013.

Kulasegaran menjelaskan bahawa siapa sahaja samada individu mahupun komuniti tertindas harus mendapat pembelaan tanpa mengira batas bangsa, agama maupun kelas dalam mencapai matlamat negara maju seperti Malaysia. – Roketkini.com

Tiada ulasan: