MELAKA: Wanita Umno memerlukan satu lagi mesyuarat dengan ketua-ketua negeri bagi memuktamadkan senarai calon-calonnya untuk pilihan raya umum, kata ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
"Saya sudah mempunyai beberapa nama tetapi mesyuarat ini nanti akan menjadi yang terakhir untuk memuktamadkan calon-calon," katanya kepada pemberita di sini.
Ditanya sama ada lebih ramai anggota Wanita Umno yang akan menjadi calon berbanding dalam pilihan raya umum yang lepas, Shahrizat berkata, beliau berharap untuk itu dan ia akan dibincangkan (dengan perdana menteri) kemudian.
Shahrizat, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kaum wanita akan memberi sokongan mereka kepada Barisan Nasional (BN) kerana kestabilan politik dan ekonomi negara.
"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak, banyak isu-isu yang berkaitan dengan ramai wanita diberikan perhatian, dari cuti bersalin kepada kebajikan sosial sehingga kedudukan wanita dalam tenaga kerja.
"Saya yakin bahawa pengundi wanita akan hadir dalam jumlah yang besar dan menunjukkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri kita serta Barisan Nasional," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Keluarga 1Malaysia peringkat negeri di Ayer Keroh bersama dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan