Sabtu, 17 Mac 2012

'Umat Islam lalai dengan hiburan melampau'

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

Ahmad Mahad Adam

ARAU - Munculnya pusat hiburan dan karaoke yang tumbuh bagaikan cendawan di Perlis menjadi antara punca umat Islam lalai dan kurang mengamalkan ajaran agama.

Imam Masjid Negeri, Ahmad Mahad Adam berkata, sehingga kini, Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya 300 premis pusat hiburan dan karaoke dibuka di Perlis dan kebanyakannya turut menawarkan perkara ke arah maksiat seperti minuman keras dan dadah.

Menurutnya, kesan besar kewujudan pusat itu membawa kepada pembaziran masa, kerosakan akhlak, gejala sosial, pendedahan aurat, pergaulan bebas lelaki dan wanita yang menjadi punca penzinaan serta masjid dan surau tidak diimarahkan.

"Dalam surah Al-An'am ayat 32, ALLAH SWT mengingatkan kita semua tentang hakikat sebenar kehidupan di dunia ini dengan dunia diibaratkan sebagai tipu daya sia-sia dan hiburan melalaikan.

"Tetapi kebanyakan umat Islam sekarang ini seolah-olah tidak mempedulikan peringatan ALLAH SWT ini serta terjebak dengan budaya hiburan kafir yang melampau dan melalaikan," katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat semalam.

Dalam khutbahnya, Ahmad menegaskan kebanyakan ulama Ahli Sunnah Waljamaah sepakat mengeluarkan fatwa haram terhadap nyanyian dan muzik yang melalaikan dan sia-sia berlandaskan dalil Al-Quran dan Sunnah Nabi.

Beliau berkata, Islam meletakkan batasan agama ketika mencari hiburan agar manusia tidak lalai dan alpa daripada mengingati ALLAH SWT.

"Orang Islam seringkali diperingatkan segala kenikmatan di dunia hanyalah sementara. Justeru gunakan kenikmatan itu untuk mencari keredhaan dan rahmat ALLAH SWT," katanya.

Ahmad turut memberi peringatan kepada pihak yang mengeluar dan meluluskan lesen pusat hiburan dan karaoke bahawa mereka akan disoal pada hari akhirat kelak.

"Hal ini disebabkan mereka bersekongkol dan bersubahat dengan mereka yang berkaraoke serta berhibur secara melampau.

"Justeru, mimbar menyeru kepada semua terlibat dengan hiburan yang melampau insaf dan bertaubat atas perbuatan maksiat itu. Marilah kita semua kembali mencari hiburan yang mententeramkan jiwa serta berpandukan Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW," katanya.

Tiada ulasan: