Oleh: Masdar Wahid
KUALA LUMPUR: KEADILAN mengalukan desakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) agar pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memindahkan nama pengundi secara tidak sah, dihukum.
Bagaimanapun, kata Naib Presidennya, Fuziah Salleh, ia masih tidak mencukupi kerana Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) juga perlu ditubuh bagi menyiasat daftar pemilih yang meragukan.
“Kita mengalukan desakan Bersih itu kerana taktik SPR bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 itu sendiri, sekaligus menjadikan senarai daftar pemilih itu kotor.
“Apabila kotor, secara automatik senarai daftar pemilih tidak sah dan harus dibatalkan,
“Malangnya SPR enggan berbuat demikian walaupun bertahun kita mendesaknya,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.
Oleh itu, katanya perlunya penubuhan RCI bagi memastikan sistem daftar pemilih dibersihkan dan langkah ini mesti dilaksanakan sebelum Piliham Raya Umum (PRU) berlangsung.
“Tujuan RCI ini bagi mengkaji dan meneliti keabsahan daftar pemilih dan ia mesti diselesaikan sebelum parlimen bubar.
“Selagi RCI ini tidak ditubuhkan, kita desak agar pilihanraya ditangguhkan,” tegasnya.
Sementara itu, katanya, KEADILAN mendesak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak segera mencari jalan supaya rakyat Malaysia di luar negara boleh mengundi pada PRU akan datang.
Semalam, Jawatankuasa Parlimen Khas (PSC) mengenai pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini menggesa SPR memutuskan bagaimana ia akan membolehkan semua rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi.
“SPR mesti cari jalan bagaimana rakyat kita di negara luar boleh mengundi.
“Menafikan hak mereka jelas bertentangan dengan perlembagaan sedangkan mereka ialah warga negara yang sah dan layak mengundi untuk menentukan hala tuju kepimpinan negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan