"Pada pilihanraya yang ke 13, kita akan mendengar suara wanita! Bukan hanya di sini tetapi di setiap bandar, di setiap pusat mengundi, mendengar suara wanita! Adakah kita bersedia untuk perubahan ini?"
"YA!" disambut dengan laungan jawapan yang bersemangat dari lebih daripada 3,000 wanita.
"Kita mahukan Perubahan! Kita mahu kerajaan yang Bersih, bukan yang membelanjakan berjuta-juta untuk..."
"Cincin!" Terdengar laungan jawapan dari wanita-wanita yang berkumpul di Padang Astaka sambil mengadap ke pentas yang disediakan.
Bermula dari Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14 Petaling Jaya, sekitar 1000 orang berkumpul di dalam barisan yang panjang menantikan saat permulaan perjalanan, petang semalam. Ramai yang mula berkumpul untuk bersama Solat Zuhur di Masjid.
Kumpulan ini yang terdiri dari pelbagai NGO dan Parti Politik berkumpul sambil melaungkan kata-kata semangat.
"Bangkit Wanita, Hidup Wanita! Bebas Rasuah!", dan pelbagai lagi laungan kata semangat kedengaran.
Mungkin inilah satu perhimpunan yang besar yang berjaya diadakan yang menaikkan semangat ramai wanita, tua, muda, kecil dan besar untuk turun ke jalanraya. Ada yang datang jauh dari Utara, Selatan dan Timur. Ada yang datang sendirian, berkeluarga bersama suami dan anak-anak. Ramai juga yang bersusah payah datang berkumpulan bersama bas-bas yang disewa khas.
Suasana sungguh bersemangat, wanita berani sesuai dengan tema yang dibawa "Wanita Suara Perubahan" Wanita Super!
Melaungkan slogan tuntutan mereka
1. Wanita Bersuara! Untuk Kesaksamaan!
2. Wanita Menolak! Menolak Rasuah!
3. Wanita Bernilai! Tuntut Gaji Minima!
4. Wanita Bersama! Menentang Keganasan!
5. Wanita Memilih! Kerajaan Yang Bersih!
6. Wanita Bersatu! Kami Mahu Berhimpun!
Dengan bantuan Briged Muslimat juga Unit Amal, mereka bergerak perlahan-lahan bermula jam 2.35petang dari Masjid Bulat. Bergerak dalam barisan yang aman dan teratur di jalanraya.
Perhimpunan yang aman dengan pihak polis berada di bahu jalan memerhatikan tanpa sebarang tindakan. Kumpulan ini kemudiannya bersatu dengan sekumpulan lagi yang bergerak dari Tasik Taman Jaya. Suasana menjadi bertambah semangat. Laungan tuntutan bertambah kuat.
Bersatu di dalam satu kumpulan yang besar, mereka meneruskan perjalanan di satu lorong menuju ke Padang Astaka.
Sedikit kekecohan telah berlaku apabila "coach" tim ragbi yang sedang menggunakan padang yang sama di satu hujung yang lain meluru ke arah kumpulan yang baru tiba. Beliau memarahi dan menjerit-jerit ke arah kumpulan wanita dan mengarahkan mereka semua beredar dari padangnya.
Namun kehadiran Latheefa Koya, Peguam dari Lawyers For Liberty yang juga Ahli Majlis Bandaran Petaling Jaya berjaya meleraikan kekecohan yang berlaku.
Perhimpunan berjaya diadakan di Padang Astaka sekitar jam 3.20 petang apabila kesemua yang berarak berkumpul di hadapan pentas yang disediakan. Semuanya berpakaian Ungu dan bersarung tangan putih.
Perhimpunan diisi dengan ucapan-ucapan yang bersemangat dari beberapa orang wakil wanita. "Kita mahu semua dengar suara kita! Kita mahukan perubahan!"
"Wanita!" "Suara Perubahan!" begitulah semangatnya wanita-wanita yang hadir menjawab laungan dari Janarthini mewakili Jawatankuasa Program.
"Kita mahu Pilihanraya yang bersih, adil , tanpa rasuah. Rasuah berleluasa di dalam masyarakat Orang Asli. Orang Asli selalu ditindas disebabkan tiada pendidikan. Walau kami tiada pendidikan, kami ada fikiran!" Tegas dan jelas sekali tuntutan dari wakil wanita Orang Asli, Fatimah Bahsin.
"Kami tidak mahu penindasan, kami mahu Orang Asli wanita dan lelaki diberi hak dan bukan hanya wanita Orang Asli, semua wanita diberi gaji berpatutan. Walau Orang Asli tidak berkelulusan tinggi tapi kami buat kerja dengan baik sama seperti yang berkelulusan tinggi."
Mungkin ramai tidak menyedari betapa golongan Orang Asli ini dipinggirkan. "Tiada tanah, tiadalah kami, sebab kami tiada kelulusan." Mereka mendesak kerajaan memberikan hak mereka, iktiraf tanah adat.
Pihak penganjur tidak melupakan kepada Wakil Rakyat Wanita yang berjaya melakukan perubahan. Rodziah Ismail, Ahli Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi mewakili kumpulan ini.
"Kita mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor yang memungkinkan perhimpunan ini berjaya diadakan," jelas Rodziah yang juga mewakili Kerajaan Negeri Selangor.
Rodziah tidak ketinggalan untuk menaikkan semangat wanita yang hadir untuk melakukan "pembersihan" di pilihanraya yang akan datang sesuai dengan tuntutan Wanita Suara Perubahan.
"Bersih! Bersih! Bangkit Wanita! Bersih Negara! Wanita untuk perubahan, bersihkan kerajaan yang ada, Kerajaan Barisan Nasional yang perlu dibersihakan!"
Beliau turut menjemput semua wakil Rakyat Pakatan Rakyat yang turut hadir menaiki pentas tanda sokongan. Turut naik ke pentas adalah Fuziah Salleh, Elizabeth Wong, Gan Pei Nei, Teresa Kok, Nurul Izzah, Haniza Talha, Zuraidah Kamaruddin, Chong Eng, Senator Mumtaz Nawi, Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah, Irene Fernandez dan ramai lagi yang turut hadir memberikan sokongan.
Selain dari itu Ahli Parlimen lelaki Pakatan Rakyat tidak ketinggalan turut serta di atas pentas memberikan semangat pada semua yang hadir. Antara yang kelihatan ialah Tian Chua, Sivarasa Rasiah dan lain-lain lagi.
Perhimpunan pada petang itu turut juga diserikan dengan persembahan tarian "Jaiho" atau "Victory". Perhimpunan berjalan dengan aman dan berakhir dengan aman walau kelihatan juga kelibat truk FRU di belakang pentas utama.
Perarakan dan perhimpunan kali ini berjaya membuktikan bahawa wanita mampu melakukan perubahan sekiranya mereka berani suarakan hak mereka. Kehadiran wanita tua dan muda dan bukan hanya wanita sekitar Lembah Kelang dan Selangor, malah sejauh dari Gerik, Kedah, Pulau Pinang, Johor dan dari merata tempat lagi membuktikan mereka mampu menyampaikan mesej "Wanita Suara Perubahan" di seluruh pelusuk negara.
*Nashita Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam penjara. Kini dibicarakan untuk dua kes perhimpunan aman, PROTES kenaikan harga barangan dan himpunan Mansuh ISA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan