Harakahdaily, | |
KUALA LUMPUR: Akhbar MCA, The Star berjanji kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempastikan kejadian menyiarkan gambar Erykah Badu tidak akan berulang lagi.
Menurut sumber, janji ini dibuat empat editor kanan The Star yang diketuai Datuk Seri Wong Chun Wai dan dua editor yang bertangungjawab menyiarkan gambar itu pagi tadi.
Janji itu dibuat dalam pertemuan mereka dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam pagi tadi.
KDN dikatakan akan memutuskan hukuman terhadap The Star tidak lama lagi.
Para editor ini bertemu KDN buat kali keduanya ekoran penyiaran gambar penyanyi Amerika yang bertatu nama Allah pada dadanya yang telanjang.
Antara janji itu adalah memberikan maklumat yang lengkap tentang agama di negara ini khasnya Islam kepada semua kakitangan.
"Kami kakitangan The Star akan menghadiri kuliah agama selepas ini termasuk dari bahagian pengiklanan, sumber manusia apatah lagi editorial," kata sumber itu kepada Harakahdaily.
Oleh itu, katanya, jika umat Islam mendengar kuliah agama untuk menyambut Ramadhan, semua kakitangan The Star juga akan diarahkan mendengar kuliah agama juga.
"Misalnya sebulan sebelum Ramadhan, semua bahagian The Star akan diminta menyertai kuliah tentang Ramadhan bagi mengelakkan kami dari tersalah tulis atau siar selepas ini," kata sumber itu.
Pegawai KDN juga akan dijemput dari masa ke semasa untuk menjelaskan isu-isu keselamatan dan isu yang sensitif.
Selain tindakan itu, The Star juga membawa bersama mereka Rozaid Abdul Rahman, Editor Bersekutu yang mereka lantik untuk mengawasi isu agama dalam The Star.
Ia bertujuan untuk menunjukkan kepada KDN akhbar ini serius dalam menangani kesilapan itu, kata sumber itu.
Ini adalah antara langkah yang telah diambil The Star untuk memastikan KDN hanya mengenakan hukuman yang ringan sahaja ekoran kesalahan itu.
Bagaimanapun, akhbar ini juga dikatakan bersiap untuk menghadapi hukuman yang berat dari KDN.
Ini kerana, laporan The Star tentang gambar itu juga telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu.
Para menteri Umno dikatakan sangat marah dengan laporan ini kerana bimbang PAS akan mendakwa Umno membiarkan akhbar MCA itu berbuat demikian.
Dalam pertemuan pagi tadi, mereka turut menyerahkan jawapan bertulis rasmi terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan KDN beberapa hari lepas.
Dalam pertemuan itu, Harakahdaily difahamkan, pihak KDN meminta The Star juga melaksanakan polisi memecat kakitangan yang bersalah sebagaimana yang diamalkan oleh dua akhbar Cina sebelum ini yang juga tersalah lapor tentang isu agama yang sensitif.
"Namun bos kami hanya mendengar sahaja tanpa memberikan sebarang komitmen," kata sumber itu.
KDN dikatakan memaklum kepada editor kanan The Star itu, jika kakitangan kerajaan yang membuat kesalahan yang serupa mereka telah dipecat dari perkhidmatan.
Sehingga kini, dua editor yang terlibat menerbitkan gambar itu telah digantung jawatan.
The Star juga menyiarkan permohonan maaf yang disifatkan Mufti Perlis sebagai 'ciput' sahaja berbanding gambar besar Erykah Badu yang disiarkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan