Khamis, 8 Mac 2012

Pilihan raya kampus: Medan sabung atau indikator politik negara?

Adam Adli


Seakan air sungai yang mengalir ke laut, begitulah saya sifatkan politik mahasiswa dan politik Negara. Pada pihak yang mempunyai bacaan politik yang matang, mereka ini pasti mengakui, bahawa senario politik dan masa depan Negara sebenarnya boleh diramal melalui situasi politik mahasiswa di kampus-kampus tempatan. Maka tidak hairanlah, pilihan raya kampus sentiasa mendapat perhatian segenap pemerhati politik Negara. Saban tahun, kita dapat melihat liputan meluas perkembangan semasa politik mahasiswa, terutama sekali pilihan raya kampus. Namun, bukankah aneh apabila dari segenap isu yang berlaku di dunia kampus, hanya pilihan raya sahaja yang sering menjadi tumpuan utama?

Sebelum mengulas lebih lanjut, perlu saya uraikan sedikit mengenai pilihan raya kampus. Umum mengetahui, pilihan raya kampus sebenarnya terbahagi kepada dua zaman; era Persatuan Mahasiswa dan era Majlis Perwakilan Pelajar. Menurut catatan yang diturunkan oleh generasi mahasiswa terdahulu melalui tulisan-tulisan lama, pilihan raya untuk mengisi kerusi Majlis Perwakilan Pelajar hanyalah sebuah drama untuk menutup kekecewaan golongan pelajar apabila Persatuan Mahasiswa dikuburkan oleh AUKU.

Perlantikan pengawas universiti?

Dalam tulisan yang lebih kritikal, mahasiswa terdahulu menggelarkan Majlis Perwakilan Pelajar sebagai tidak lebih dari perlantikan pengawas universiti, sama seperti perlantikan pengawas di sekolah hari ini. Apa gunanya memegang jawatan tetapi tidak mempunyai kuasa? Autonomi terhadap pelajar seperti yang wujud di zaman Persatuan Mahasiswa sudah tidak lagi wujud hari ini. Jika dahulu, pimpinan-pimpinan Persatuan Mahasiswa mampu untuk mengurus tadbir persatuan lain, mengawal aktiviti sosial dan ekonomi pelajar, serta turut mampu membina solidariti dalam kalangan pelajar sendiri; Majlis Perwakilan Pelajar tidak bersifat demikian.

Dakwaan ini sama sekali tepat dan berasas. Tugas umum seorang Ahli Majlis Perwakilan Pelajar atau MPP tidak lebih dari sekadar menjadi anak suruhan dan penerima "wahyu" dari orang yang lebih berkuasa terhadap pelajar iaitu penghuni bangunan Hal Ehwal Pelajar atau HEP. Maka tidak hairanlah, bagi golongan pelajar progresif yang sedia sedar tentang percaturan tidak sihat ini terus-menerus menentang HEP dan sistem MPP sendiri. Jika golongan ini menyertai pilihan raya kampus moden ini sekalipun, tidak lain hanyalah bertujuan sebagai cubaan untuk mengurangkan kuasa HEP terhadap pelajar lain.

Berbalik kepada persoalan asal tentang bagaimana pilihan raya kampus membentuk tanda aras terhadap landskap politik Negara, terutama sekali menjelang pilihan raya umum; ianya tentu sekali terletak kepada asas paling mudah: siapa yang bakal mendominasi pilihan raya kampus? Abaikan seketika peranan HEP yang tidak ubah seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, mengawal selia pilihan raya hanya untuk memenangkan sesetangah pihak; pilihan raya kampus secara umumnya menyaksikan pertarungan merebut kuasa antara dua blok utama iaitu Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa.

Tentu sahaja berdasarkan trend politik yang saban hari digerakkan oleh dua blok utama ini, kita mampu menilai wajah-wajah yang dibawa oleh dua blok utama ini. Pro-Aspirasi yang sentiasa bekerja keras mempertahankan "penguasa" sedia ada iaitu pentadbiran universiti, berdepan dengan Pro-Mahasiswa yang secara tradisinya terus konsisten menentang "pentadbiran" dengan membawa apa yang dipanggil "hak dan kuasa mahasiswa". Dalam kes ini, sedihnya tiada ideologi yang dipertaruhkan dalam pilihan raya kampus.

Di peringkat kampus, dalam kalangan mahasiswa sendiri, Pro-Aspirasi sentiasa dirujuk sebagai proksi kerajaan, dan Pro-Mahasiswa sebagai proksi kepada pembangkang. Mengapa berlaku perkara ini? Jawapan mudah: kerana pertarungan untuk merebut kerusi Majlis Perwakilan Pelajar sememangnya dibentuk sebegitu rupa. Mahasiswa sebenarnya menjadi tikus makmal, dan pilihan raya kampus adalah lapangan ujian sebelum PRU. Andai yang dipertandingkan adalah kerusi Presiden Persatuan Mahasiswa, perkara sebegini mungkin tidak akan berlaku. Calon-calon yang bertanding hari ini bertanding untuk merebut sebuah peti harta karun yang kosong. Pertarungan yang berlaku bukan untuk mencapai suatu matlamat, sebaliknya hanya untuk mempamer dan menguji kuasa dan pengaruh sesetengah pihak. Saya ulangi lagi sekali; kerusi Majlis Perwakilan Pelajar tidak pernah membawa apa-apa maksud kepada pelajar, sebaliknya hanya menjadi testing ground kepada pemerhati dan oportunis politik yang sedang memerhati dari luar.

Walau bagaimanapun, pilihan raya ini tetap penting, bukan terhadap pelajar, sebaliknya terhadap landskap politik Negara sendiri. Indikator pertama yang akan dinilai dari luar adalah kecenderungan politik pelajar yang berjumlah hampir sejuta orang di Negara kita. Mampukah pilihan raya kampus menarik keluar kesemua golongan pelajar ini untuk mengundi? Kecenderungan politik golongan pelajar amat penting buat pemain politik Negara. Andai kecenderungan ini tinggi dalam kalangan pelajar, maka pilihan raya umum turut menerima kesannya. Kesannya ini akan dirasai pula pada indikator kedua yang lebih penting dari yang pertama; siapa yang menjadi pilihan pelajar?

Dominasi pengaruh antara Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa bakal jadi penentu kepada kemenangan parti politik yang bertanding di pilihan raya umum. Sekurang-kurangnya, dari jumlah sejuta pelajar ini, separuh dari mereka adalah bakal pengundi, dan pilihan mereka di kampus bakal juga membayangkan pilihan mereka di pilihan raya umum. Seperti yang diterangkan, dua blok utama di kampus seolah-olah adalah proksi kepada kerajaan dan pembangkang. Kemenangan proksi-proksi ini jugalah yang akan membayangkan kemenangan parti politik sebenar yang bertanding kelak.

Sistem E-Voting

Setelah memahami peri penting pilihan raya kampus dan hubung kaitnya dengan permainan politik Negara, kita wajib juga menghalakan teropong ini ke dalam kampus sendiri. Sistem apa pula yang digunakan sepanjang pilihan raya kampus? Melalui pengalaman berdepan dengan pilihan raya kampus sebanyak dua kali sepanjang bergelar mahasiswa, saya boleh ibaratkan sistem pilihan raya kampus sebagai sistem yang berat sebelah dan telah pun direncanakan segala-galanya.

Walaupun kita fahami bahawa pilihan raya kampus adalah lapangan ujian untuk menilai hasil dan ramalan bagi menghadapi pilihan raya sebenar, namun pada peringkat universiti, tidak pula ia berfungsi sedemikian. Mudah kata, pilihan raya kampus yang dikawal selia oleh HEP ini sama fungsinya dengan akhbar arus perdana. Melapor dan menyampaikan berita yang lunak untuk penguasa. Keputusan pilihan raya kampus di sesetengah universiti misalnya diubahsuai mengikut selera dan kemahuan orang yang mengawalnya.

Sistem E-voting yang sentiasa mendapat tentangan oleh sebilangan mahasiswa dilihat sebagai tidak telus dan mudah dimanipulasi. Tiada siapa yang tahu bilangan fizikal jumlah undi yang dibuang oleh mahasiswa. Pembuangan undi secara manual iaitu menggunakan kertas boleh dipantau, namun bagaimana pula kita memantau undi maya? Jumlah undi hanya diketahui di akhir hari pengundian, setelah dikira oleh sistem komputer, dan dipaparkan di atas skrin besar setelah diaudit. Sekadar memaparkan angka di atas layar putih tidak pernah memerlukan kiraan undi. Dengan mudahnya ia boleh direka untuk menyedapkan perasaan pemain politik yang sedang memerhatikan dari jauh. Maka di sini kita mampu untuk fahami kegusaran yang disuarakan oleh kelompok mahasiswa yang menentang sistem sedia ada ini.

Perdebatan panjang mengenai sistem E-voting bukanlah satu-satunya isu ketempangan pilihan raya kampus yang sering diperjuangkan. Memahami pilihan raya kampus sebagai indikator penting pilihan raya umum Negara, mahasiswa juga melihat isu-isu lain yang berkaitan umpamanya tempoh berkempen, material dan bahan-bahan edaran, peraturan-peraturan dan syarat-syarat karut pilihan raya, serta banyak lagi elemen-elemen yang wujud sepanjang pilihan raya kampus. Permasalahan-permasalahan inilah yang turut mendorong tuntutan serius mahasiswa dalam Gerakan BEBAS pada 17 Disember 2011 yang lalu iaitu membebaskan pelajar mengurus tadbir pilihan raya sendiri. Pilihan raya kampus bagi sesetengah pelajar adalah medan penting untuk mengukur tahap kepimpinan dan keupayaan pelajar menghadapi realiti dunia luar yang lebih mencabar, dan atas sebab itulah ia dianggap begitu sebagai saat dan momento yang begitu berharga buat mereka (atau kami).

Andai kata pilihan raya kampus juga mahu dikawal dan dijadikan alat penguasa bagi mengekalkan cengkaman dan pengaruh politiknya, ke mana mahu disalurkan daya kepimpinan dan idea-idea pelajar yang mempunyai cita-cita dan jiwa yang besar? Maka tidak hairan jugalah, menjelang pilihan raya kampus yang akan dating, idea untuk menggerakkan BERSIH di peringkat universiti bukan idea yang melampau.

Bagaimana sekali pun, disebalik segala keresahan, drama, lakonan, skrip, dan persoalan-persoalan yang timbul di bawah tajuk pilihan raya kampus ini, saya percaya dan yakin, berdasarkan perkembangan semasa gerakan-gerakan politik pelajar hari ini, pilihan raya kampus yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi bakal menyaksikan pertarungan yang di luar jangkaan. Memandangkan mahasiswa hari ini begitu menonjol sekali (sekurang-kurangnya selepas 17 Disember!), kita bakal berdepan dengan suasana pilihan raya kampus yang jauh lebih dahsyat. Setiap kem pelajar hari ini sedang bersiap siaga dengan senjata masing-masing. Saat ini jugalah, oportunis politik akan mula menawarkan bantuan masing-masing kepada proksi masing-masing. Mungkin ramai yang tidak akan percaya jika saya katakan, pilihan raya kampus hari ini bukan lagi menelan belanja hanya ratusan ringgit duit yang dikeluarkan dari poket pelajar yang bertanding, sebaliknya belasan ribu; malah mungkin puluhan ribu dari kantor-kantor politikus yang sedia menaruhkan tiket taruhan ke atas proksi masing-masing, seperti Amerika dan Russia yang menaja perang-perang saudara di wilayah-wilayah jajahan masing-masing, dan nasib pelajar tidak pula saya nampak masa depannya di dalam "kotak undi" pilihan raya kampus.

Pilihan raya kampus akan sentiasa menjadi topik yang menarik untuk diulas. Apa sekalipun, sebelum kita berhadapan dengan pilihan raya umum yang tidak kita ketahui tarikhnya itu, kita nikmati dahulu pertarungan antara mahasiswa menjelang pilihan raya kampus kelak. Buat mahasiswa yang bakal bertanding, gunakanlah peluang yang ada untuk mengumpul sebanyak mungkin pengalaman dan pengaruh yang bakal berguna di masa hadapan; buat oportunis politik pula, selamat bertaruh ke atas ayam-ayam sabung anda.

*Adam Adli ialah aktivis mahasiswa, bergiat aktif dalam pertubuhan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Tiada ulasan: