Ahad, 18 Mac 2012

Pengantin lelaki parah ditetak, rumah disamun awal pagi

NURULATIQ AHMAD BANDI


PORT DICKSON – Tinggal beberapa jam sebelum majlis perkahwinan berlangsung, seorang lelaki terpaksa menunda hasratnya melayari bahtera rumah tangga selepas dia cedera parah ditetak oleh satu kumpulan, dipercayai penyamun, awal pagi semalam.

Dua lagi anggota keluarganya juga cedera.

Kejadian yang berlaku di Kampung Kuala Lukut di sini pada jam 6 pagi semalam menyebabkan mangsa, M. Ruben, 29, parah di bahagian tangan, perut dan kaki selepas diserang dan ditetak dengan senjata tajam.

Ruben yang sepatutnya naik pelamin pada sebelah petang dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan, sebelum dirujuk kepada Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.

Menurut seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali, ketika kejadian, kakak mangsa sedang menyidai pakaian di anjung rumah sebelum dua lelaki bertopeng muka dan berbadan besar menyerbu masuk rumah mereka dengan bersenjatakan parang.

“Semasa kejadian, terdapat 15 orang dalam rumah berusia antara enam bulan dan 80 tahun. Salah seorang dari lelaki berkenaan menerpa ke arah Ruben yang sedang tidur di ruang tamu dan merampas rantai emas dipakainya.

"Penjenayah turut beri amaran supaya kami tidak membuat bising atau melawan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Unit Rawatan Kecemasan, Hospital Port Dickson.

Turut cedera, abang mangsa, M. Mahendran, 31, dan telah dikejarkan ke hospital sama manakala adik mangsa, M. Thelaga, 24, yang turut tercedera kini dirawat di Hospital Port Dickson.

Tambahnya, penjenayah terbabit turut meragut rantai emas yang dipakai ibu mangsa sebelum beberapa ahli keluarga cuba untuk melawan.

"Lelaki itu terus mengayunkan parang sehingga mengenai Ruben, Mahendran dan Thelaga sebelum mereka berjaya melarikan diri.

“Kami segera membawa ketiga-tiga mereka ke hospital untuk rawatan. Kejadian begitu pantas,” katanya.

Akibat kejadian itu, keluarga berkenaan mengalami kerugian lebih RM40,000.

Pengantin perempuan dan keluarganya yang berasal dari Bahau, Jempol sudah dimaklumkan berkenaan kejadian tersebut.

Tiada ulasan: