PENGERUSI BN, Najib Razak, umpama Santa Claus sekarang, cukup pemurah meskipun kantung negara menipis. Untuk memastikan dia tidak diingati sebagai perdana menteri terakhir daripada Umno, semua sektor masyarakat mahu “dirasuahnya”.
(Menarik bidasan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu: “Rakyat berpendapatan rendah digula-gulakan dengan RM500 sekali bagi sahaja. Pada masa sama, Tajudin Ramli boleh ketawa berdekah-dekah kerana sebesar RM589 juta – hutangnya kepada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd – diberikan percuma kepadanya.”)
Najib juga rela merendah diri, memohon maaf, di atas kesalahan lampau BN walaupun tidak dijelaskan pula apa sebenarnya kesilapan itu. Ya, demi meraih kemenangan dalam PRU13, beliau akan menuruti segala cadangan strategis kempen Umno.Lim Kit Siang memperincikan 12 kesalahan Najib selama 35 bulan menjadi PM, antaranya, merampas kuasa kerajaan Perak; politik hipokrasi mengizinkan ekstrimis perkauman; bertambahnya politik keganasan terhadap aktiviti Pakatan Rakyat; gejala rasuah dan kronisme terburuk; kematian Teoh Beng Hock, Ahmad Sharbaini dan kes serupa di bawah jagaan polis; muncul kembali politik Mahathirisme; dan banyak lagi aksi yang melunturkan keyakinan awam terhadap institusi utama negara. Apakah Najib sedia memohon maaf di atas siri kesalahan itu?
Dan jangan lupa, untuk mengekalkan Putrajaya, Najib juga sudah berikrar akan mempertahankan simbol kuasa itu, sehingga ke titisan darah terakhir, “walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa”.
Dalam ucapan di Parlimen, 22 Mac lalu, Kit Siang mengingatkan: “Oleh sebab takut kehilangan kuasa buat pertama kali dalam tempoh 55 tahun sejarah negara ini, PRU13 akan menjadi yang paling kotor, tidak adil, dan tidak demokratik.”
Soalan saya, apakah anda sendiri sudah bersedia berdepan dengannya?
Kalaupun tempoh penguasaan BN mungkin dilanjutkan, kerisauan Najib tidak mudah padam.
Seperti kata Daim Zainuddin, jika prestasi BN tidak bertambah baik berbanding 2008, Najib mesti berundur, menjejaki langkah Abdullah Ahmad Badawi. Justeru, Najib begitu sibuk menjelajah seluruh pelosok negara, berkempen (juga secara tersirat, mengugut) membeli sokongan rakyat ... sudah pasti atas kapasiti perdana menteri, dengan memperkakas segala kemudahan kerajaan dan menghanguskan dana awam.
Terbaru, 21 Mac lalu, di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam -- menurut akhbar, di hadapan lebih 10,000 mahasiswa -- diiringi Menteri Pengajian Tinggi dan yang peliknya turut menyibuk, Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Selangor ... Najib secara terbuka berkempen untuk BN, sekali gus memburuk-burukkan Pakatan.
“Anda semua boleh memberikan kami kepercayaan untuk memimpin negara ...,” tegasnya sambil menegaskan, terdapat “golongan yang sanggup menjual apa saja termasuk bulan dan bintang serta cakerawala”. Ungkapan sama dihamburkan dalam ceramah politiknya mengasak Pakatan.
Bagi saya, silakan saja Najib dan konco-konconya ke kampus, hatta untuk berkempen politik sekalipun, tetapi benarkan juga pelajar mendengar sudut pandangan berbeda daripada saingan BN.
Biarkan mereka berdebat dan berpartisipasi membangunkan negara.
Jaminan Najib di majlis itu memang mengujakan: “Kita tidak tutup minda, mereka boleh dengar, yang penting sekali siswa boleh buat penilaian ... sebab itu, kerajaan bukan hendak kongkong.”
Soalnya, cuba anda tanya aktivis pelajar dan selami kegiatan di menara gading. Kongkongan ketat masih memagari. Mereka tetap dilayan bagai budak sekolah. Sebahagian tokoh “pembangkang” terus berada dalam senarai hitam yang dilarang masuk kampus.
Bahkan, terkini, tarikh pilihan raya kampus dianjak sesuka hati, juga di atas pertimbangan politik PRU13, dibimbangi memberi kesan buruk kepada rejim Najib, meskipun tempoh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sudah lama berakhir. Ekoran itu, amarah pelajar tidak dapat ditahan lagi sehingga lapan kumpulan siswa, pada 23 Mac, mahu menyerahkan batu nesan kepada Menteri Pengajian Tinggi, tanda “kematian demokrasi kampus”.
Najib tentunya menyedari faktor kritikal generasi muda ini, terutama yang baru kali pertama akan mengundi. Beliau pasti tidak mudah mengalah dengan hanya menyandarkan kekuatan BN kepada pengundi di saluran satu dan dua.
Harus diingat, dalam beberapa pilihan raya kecil selepas 2008, ramai juga pengundi muda dilihat menolak Pakatan dan tertarik dengan pendekatan kempen BN. Ada aktivis PAS di kawasan pinggir bandar atau pedalaman mengakui kesukaran mendekati generasi muda ini.
Oleh itu, Pakatan tidak boleh berasa selesa dengan kecenderungan mengundi anak muda. Selain turun menghayati kompleksiti kehidupan dan merasai degup jantung mereka, sekali gus menawarkan formula penyelesaian, tidak kurang pentingnya tokoh-tokoh muda dan “berjiwa muda” mesti diletakkan sebagai calon PRU13.
Dalam pada itu, portal berita Malaysian Insider mendakwa BN menyenaraikan lima isu yang perlu diselesaikan bagi mendapatkan sokongan rakyat dalam PRU13, iaitu Pusat Fidlot Nasional (NFC), semakan semula gaji kakitangan awam, pertukaran saham MASAirAsia, Lynas dan penyenaraian saham Felda.
Saya turut difahamkan bahawa isu Felda perlu ditangani dan dihadam sebaiknya, terutama oleh PAS, bagi menjayakan misinya mendapatkan lebih banyak kerusi Parlimen dalam PRU13.
“Dalam apa keadaan sekalipun, mudah atau payah, pengundi Melayu adalah cabaran utama PAS. Dan masyarakat Felda merupakan penentu dalam banyak kawasan yang ditandingi PAS,” kata seorang pemerhati politik.
Dalam perkembangan lain, saya cukup tersentuh dengan iklan warna semuka penuh gel mandian Follow Me, yang disiarkan Utusan Malaysia, Jumaat lalu, dalam sisipan Mega, halaman 25.
Ia umpama poster filem lucah! Lebih teruk muka surat iklan bogel itu bersebelahan dengan kolum “Tafsir al-Quran & Asbabun Nuzul” oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ulamak muda yang sering mengisi ruang udara radio Ikim.
“Takkan Utusan dah nazak, takda duit, sebab terpaksa bayar saman malu pemimpin Pakatan?” tanya seorang rakan selepas saya maklumkan iklan itu. “Apa pun, aku dah lama tak baca Utusan,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan