KUALA LUMPUR – Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mempersoalkan tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya sekarang meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) agar menyiasat dakwaannya mengenai isu murtad, tetapi tidak berbuat apa-apa sebelum ini.
Hasan berkata, jika Abdul Khalid sedia memahami yang isu murtad di kalangan umat Islam adalah perkara yang serius, sudah tentu beliau tidak akan mencabarnya agar menunjukkan bukti selain meminta Jais dan Mais menyiasat perkara berkenaan.
“Kalau beliau (Abdul Khalid) faham, dia tidak mencabar saya menunjukkan bukti dan minta Jais dan Mais untuk menyiasat perkara ini.
“Masa saya jadi Exco (Hal Ehwal Islam), kenapa tidak tanya saya? Kenapa MB tidak tanya Jais, Mais dan panggil saya (pada ketika itu). Kenapa sekarang ni? Saya yakin (minta maaf saya sebutkan ini), ada kumpulan tertentu yang mendesak beliau hingga mengeluarkan kenyataan yang mencabar saya dalam hal sedemikian,” kata bekas Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab kepada agama Islam.
Selepas digugurkan daripada jawatan itu dan dipecat Pas, portfolio itu diambil alih oleh Abdul Khalid sendiri.
Hasan juga berkata, video memurtadkan umat Islam di negeri ini dijangka akan didedahkan dua minggu lagi.
Menurutnya, pendedahan tersebut mengambil sedikit masa memandangkan prosesnya agak panjang, malah memerlukan keizinan mangsa untuk ditunjukkan kepada awam kerana ia melibatkan keselamatan mereka.
Malah katanya, beliau tidak akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di atas permintaan mangsa yang membuat pengakuan.
"Bagaimana saya hendak menunjukkan individu terbabit seperti yang diminta di khalayak ramai, siapa yang boleh menjamin keselamatan mereka sepanjang hidup mereka. Kalau ada, saya akan pujuk mereka berdepan dengan masyarakat tetapi siapa yang boleh menjamin?
"Ya, isu keselamatan mereka. Sekarang ini tidak perlu laporan polis sebab mereka pun tak nak. Bila lapor, polis akan siasat, nama akan didedahkan, adik-beradik keluarga akan ditanya, hal akidah tidak boleh sampai peringkat itu," katanya.
Katanya, sememangnya terdapat bukti sahih mengenai gerak kerja memurtadkan orang Melayu Islam yang sudah berjalan buat sekian lamanya.
Malah beliau menyifatkan pandangan Abdul Khalid bertentangan dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyebut terdapat tindakan memurtadkan orang Melayu/Islam dalam kes DUMC.
"Saya berasa hairan terhadap sikap Menteri Besar dalam perkara penting yang menyentuh soal akidah umat. Beliau yang memegang portfolio Hal Ehwal Islam, sepatutnya memandang serius perkara ini, bukan mempersoalkan apa yang dilakukan pihak lain," katanya.
Hasan juga menegaskan sebagai pendakwah, beliau tidak akan berdiam diri berhubung isu murtad ketika ditanya mengenai gesaan Majlis Perundingan Kristian, Hindu, Buddha dan Taoesme yang meminta beliau berdiam diri sekiranya tidak dapat membuktikan dakwaan memurtadkan umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan