Isnin, 5 Mac 2012

Mohon maaf: Umno, Najib 'buang tabiat'

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan (gambar) menyifatkan tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjaja kononnya memohon maaf atas kesilapan lalu BN sebagai 'buang tabiat'.

Sambil berkata ianya 'agak luar biasa' bagi Umno yang selama ini dilihat angkuh di puncak kuasa, tindakan itu juga membayangkan Najib tahu bahawa kuasa mereka akan berakhir pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

"Perbuatan ini dianggap luar biasa. Bagaimana Umno selama ini dilihat gah dan angkuh di puncak kuasa, tiba-tiba roadshow ke seluruh negara memohon maaf daripada rakyat atas kesilapan lampau mereka. Umumnya rakyat melihat perbuatan ini seperti "buang tabiat".

"Seolah-olah Umno sudah tahu bahawa kuasa dan pengaruh mereka bakal berakhir dalam pilihanraya umum akan datang, lalu Umno memohon maaf kepada rakyat disetiap negeri yang mereka jelajah," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Najib semasa Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam, Kuala Ketil, dekat Baling, kelmarin yang memohon maaf atas kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Selangor dan Kedah pada pilihan raya umum 2008.


Permohonan maaf secara terbuka itu adalah yang kedua dalam tempoh enam hari di mana kali pertama Najib yang juga perdana menteri itu bertindak demikian dalam satu program pada 26 Februari lalu di Pelabuhan Klang, Selangor.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, apa yang lebih pelik, Umno khususnya Najib juga seperti tidak percaya lagi kepada senjata propaganda mereka iaitu media arus perdana yang dikawal sepenuhnya oleh parti pemerintah itu.

"Saya melihat perkara ini sebagai pelik dan menghairankan kerana Datuk Seri Najib boleh memilih televisyen untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat dalam negara kita dan memadai dengan sekali mohon maaf.

"Tetapi, apabila tindakan mohon maaf ini dibuat berulang kali, rakyat akan tertanya-tanya sebenarnya apa yang telah berlaku pada Umno?," soal beliau.

Biarpun permohonan maaf satu sifat yang baik dalam Islam, namun kata Nasrudin, ianya tidak selesai hanya dengan kata-kata, malah perlu dibuktikan dengan perbuatan.

Jika benar permohonan maaf Najib itu ikhlas, beliau mencabar agar perdana menteri itu memulangkan kembali hak rakyat seperti contoh royalti minyak di Kelantan, kerajaan Perak yang 'dirampas' dan pampasan terhadap mangsa pengainayaan ISA.

"Jika ini (mohon maaf kerana sedar telah melakukan kepada rakyat), ertinya selama ini apa yang kita sebut bahawa Umno telah melakukan kesalahan besar kepada rakyat adalah benar.

"Saya melihat satu kewajaran untuk Umno berundur, menginsafi kesilapan lampau dan memberi laluan kepada Pakatan Rakyat pula membuktikan keupayaan mereka menggalas amanah rakyat," tegasnya.

Tiada ulasan: