KUALA LUMPUR: 106,255 nama pengundi diseluruh negara dikeluarkan dari senarai pemilih tanpa diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dedah Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh.
Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu, sebanyak 6,705 nama pengundi baru diseluruh negara pula dimasukkan ke dalam senarai pemilih, juga tanpa pewartaan.
“Senarai tersebut adalah daftar pemilih yang dimasukkan ke dalam senarai bermula dari suku keempat, Disember 2010 hingga suku ketiga September 2011,” kata Fuziah pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini
“Ini tidak mengikut perlembagaan dan tidak ikut prosedur. Senarai pengundi mesti dipamer untuk bantahan. Sama ada penambahan atau pengeluaran nama pemilih,” kata Fuziah memaklumkan tempoh dua minggu bantahan terlalu singkat untuk penelitian.
Jelas Fuziah lagi, senarai pengundi di setiap kawasan Parlimen yang diistilahkan sebagai ‘Rang’ dikemaskini setiap tiga bulan juga perlu dipamerkan.
“Setiap nama pengundi baru, pengundi keluar, pengundi yang berpindah, pengundi yang mati dan masuk tentera perlu dipamer. Bagaimana pemotongan dibuat SPR tanpa makluman?” katanya.
“Selepas pewartaan dibuat, kita terpaksa pula membuat semakan sekali lagi, sedangkan ini bukan tugas Ahli Parlimen. Bukankah SPR mempunyai pegawai IT dan jaringan dengan Jabatan Pendaftaran Negara?” soal Fuziah lagi.
“Sebelum ini SPR mengaku memotong lebih 70,000 nama dan itu pun tidak diwartakan dalam Rang. Apakah mereka tak tahu apa yang berlaku?
“Kita masih ingat 10,000 nama pengundi di Sabah yang dibantah, namun SPR kata tidak boleh ‘suka-suka’ untuk keluarkan. Tetapi bagaimana mereka boleh mengeluarkan 106,255 ini?
“Saya cabar SPR untuk membuat audit,” kata Fuziah menuntut kemaskini semula senarai pemilih oleh SPR sebelum pilihan raya umum ke-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan