Sabtu, 24 Mac 2012

Kamilia Macam Kakak Saya - Shahrizat

Post Pic

ANTARA POS.COM


KUALA LUMPUR : Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata hubungan beliau dengan Naib Ketua sayap itu, Datuk Kamilia Ibrahim tidak ubah seperti adik dan kakak.

Justeru tidak timbul soal kecil hati berhubung gesaan Kamilia supaya beliau meletakkan jawatan sebagai ketua pergerakan tersebut ekoran kontroversi yang membelit dirinya sebelum ini.

Malah katanya, beliau dan Kamilia selain mempunyai hubungan akrab, mereka juga mempunyai peranan besar dan harus berganding tenaga bagi memastikan kemenangan Umno-Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

"Saya hendak jelaskan di sini, Datuk Kamilia dengan saya sudah lama, Datuk Kamilia bukan sahaja sebagai naib saya.

"Alhamdulillah hubungan saya dengan Datuk Kamilia baik. Saya kenal Datuk Kamilia sebagai kakak saya. Kami mesti menjadi payung kepada semua.

"Saya memahami Datuk Kamilia, jadi tidak menjadi isu besar," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat pada Perhimpunan Wanita Umno, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, beliau menerima apa yang berlaku sebagai cabaran dalam karier politiknya.

"Saya bukan orang yang mudah kecil hati, saya sebagai ketua perlu terima semua cabaran, jadi saya tidak pernah berkecil hati," katanya.

Kamilia sebelum ini menggesa agar Shahrizat meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita Umno bagi mengekalkan kredibiliti parti, sayap, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan.

Bagaimanapun, Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini memberitahu bahawa Shahrizat kekal memegang jawatan sebagai ketua sayap bagi pergerakan itu kerana Shahrizat belum dibuktikan bersalah dari segi undang-undang berhubung isu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFCorp) yang melibatkan keluarganya.

Tiada ulasan: