Sabtu, 3 Mac 2012

Gelombang Hijau akan benam Gelombang Biru

Harakahdaily,



KUALA LUMPUR:
“Insya Allah rakyat Terengganu akan pastikan gelombang biru akan dibenamkan oleh Gelombang Hijau di dalam PRU13 akan datang,” tegas AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Terengganu, semalam bahawa Terengganu akan menjadi ‘negeri biru’.

Katanya, rakyat Terengganu sudah mual dengan gelagat kepimpinan Umno yang gagal urus tadbir negeri yang memililiki emas hitam.

“Semuanya gara-gara tidak amanah dan diskriminasi pimpinan Umno menyebabkan rakyat Terengganu masih miskin di tahap kedua selepas negeri Sabah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, janji manifesto BN pada tahun 2004 untuk memberi peluang 25,000 pekerjaan masih tidak tertunai lagi.

Beliau berkata, apabila PAS menawarkan 17,000 pekerjaan di dalam manifesto di dalam PRU akan datang, maka Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menjanjikan peluang pekerjaan sebanyak 80 ribu.

Baginya, rakyat ketawa melihat gelagat pembohongan pemimpin Umno dengan janji yang tidak tertunai.

Jelasnya, rakyat negeri itu tidak boleh menerima sikap sambil lewa pemimpin Umno yang gagal mengurus tadbir sehingga berlaku kerugian seperti runtuhnya Stadium Sultan Mizan RM292 juta, kos hendak membaiki pula RM25 juta.

Begitu juga, ujarnya dengan kerosakan Lapangan Terbang Sultan Mahmud bernilai RM123 juta, kolam renang di Batu Buruk berharga RM18 juta untuk Sukma 2008 rosak setelah setahun digunakan, bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kemaman berharga RM2.1 juta runtuh, perhentian bas di Kuala Berang yang berharga RM4.2 juta juga runtuh walaupun baru 80% siap.

Tiada ulasan: