Organisasi yang hebat memiliki pemimpin yang hebat. Semua tahu akan kebenaran itu.
Kurang diketahui ialah untuk mengekalkan kehebatan sesebuah organisasi ia mesti aktif memupuk generasi akan datang untuk memimpin. Jika gagal berbuat demikian akan hancurlah organisasi.
Allahyarham TunRazak juga menyedari tentang aspek kepimpinan yang penting ini. Dalam lawatan yang kerap ke daerah-daerah beliau sentiasa mencari bakat baru. Jika menjumpai bakat itu, beliau akan membawa individu itu balik ke ibu pejabat untuk apa yang kita panggil pada hari ini "fast tracking." Begitu juga Jack Welch, ketua eksekutif legenda GE.
Apabila dia melawat unit-unit dalam syarikatnya, dia akan meminta ketua jabatan untuk menamakan dua atau tiga orang yang ada potensi. Dia akan bertanya pada para pengurus apakah yang telah mereka lakukan untuk mengasah bakat orang yang berada di bawah jagaan mereka ini.
Sebagai kesimpulan pada pengamatan saya, kita boleh tahu banyak tentang potensi masa depan organisasi dengan melihat kepada barisan pelapis pemimpinnya. Atas sebab inilah saya yakin akan masa hadapan Keadilan. Parti itu mempunyai ramai bakat muda.
Bakat muda
Baru-baru ini, yang sering muncul dalam berita adalah ketua strateginya, Rafizi Ramli.
Ini adalah ukuran bagi kaliber pemimpin muda dalam Keadilan bahawa Rafizi yang sedang naik tidak menenggelamkan bakat muda yang lain. Nurul Izzah Anwar, Nik Nazmi Ahmad and Sim Tze Szin merupakan antara bintang yang sedang begermelapan di ruang angkasa Keadilan. Ini seiring dengan bukan sahaja masa depan Keadilan yang gemilang, tetapi bangsa kita.
Cabaran bagi pemimpin keadilan adalah untuk mengekalkan kecermelangan bakat mudanya kerana merekalah yang akan menjadi daya penarik bagi orang lain.
Mereka yang berbakat akan menarik mereka yang lebih berbakat lagi. Mereka bukan seperti lilin yang kurang bercahaya; satu-satunya cara untuk menjadikan lilin yang kurang menyerlah bersinar dengan terang adalah dengan memadamkan lilin-lilin yang lain. Bintang yang bersinar menerima cabaran dari yang lain kerana bersama-sama mereka akan menyinari galaksi dan ruang angkasa pada waktu malam.
Tze Tzin
Selain daripada Tze Tzin, yang sekarang merupakan ahli dewan negeri Pulau Pinang, saya tidak pernah berkesempatan berjumpa dengan yang lain. Saya mengenali Tze Szin semasa dia merupakan pelajar siswazah lagi dan kemudiannya menjadi seorang jurutera di Lembah Silikon. Caranya yang agak pendiam, merendah diri dan kepimpinannya yang efektif sudah jelas pada masa itu. Saya menyedari akan kualitinya yang tiada tandingan apabila dia meminta nasihat saya untuk memasuki institusi undang-undang di Amerika.
Jika soalan yang ditanya adalah daripada orang Amerika, saya tidak akan terkejut, namun, dari seorang rakyat Malaysia yang telah dibesarkan dibawah sistem pendidikan yang dikawal ketat dan mempunyai trademark menjuruskan pelajar dalam bidang khusus, dia mencerminkan minda yang mampu berfikir diluar jangkaan, tidak dijumudkan oleh tradisi dan kebiasaan. Paling menakjubkan pula, dia telahpun mempunyai ijazah dalam bidang kejuruteraan pada masa itu! Tze Sin ingin memainkan peranan sebagai pemimpin dan mahu memahami perihal prinsip undang-undang dan inilah yang menjadikannya berminat dengan bidang undang-undang. Saya memberitahunya bahawa seseorang itu tidak perlu dilatih sebagai peguam untuk memahami undang-undang. Sebaliknya, telah ramai yang dilatih dalam bidang itu tetapi menjadi pemimpin dengan sengaja menyalahgunakan undang-undang. Pemimpin Filipina, Marcos bukan sahaja contoh yang baik, malah dialah antara yang paling teruk.
Nik dan Nurul
Saya mengenali Nik Nazmi, seorang graduan undang-undang dari King’s College melalui bukunya, Moving Forward: Malays of the 21st Century.
Dalam ulasan saya terhadap buku itu, saya menulis, “Mungkin saya akan melahirkan perasaan kurang selesa Nik kerana saya begitu terpanggil untuk membandingkan bukunya dengan sebuah buku yang ditulis oleh ahli politik yang agak berumur. Ia bukanlah sesuatu yang serupa malah berlainan dari pelbagai aspek. The Malay Dilemma tulisan Mahathir kasar dan penuh emosi, Moving Forward tulisan Nik bersifat intelektual dan rasional. Jika Mahathir menyakitkan hati kita , Nik Nazmi memujuk; dimana Mahathir mengkritik, Nik mendamaikan. Nik meminta kita berkongsi impiannya untuk Malaysia. Mahathir pula memaksa kita menerima impiannya.” Nik merupakan ahli dewan negeri Selangor pada masa ini.
Saya menilai pemimpin politik bukan kerana retorik mereka yang tinggi mengewan tapi pada kepandaian mereka dalam berhujah tentang idea mereka serta pemikiran yang bijak. Nik Nazmi merupakan seorang ahli politik yang mempunyai masa depan yang cerah.
Nurul Izzah pula, seperti Nik Nazmi pada usia belum mencecah 30 tahun sudah menjadi ahli Parlimen. Dia telah memenanginya pada percubaan pertama menjadi calon, menewaskan menteri wanita yang veteran dan popular. Ingat, kawasan Lembah Pantai yang merupakan kawasan Nurul adalah dimana terletaknya kampus Universiti Malaya dan kawasan kediaman kelas atasan iaitu Bangsar. Maknanya, pengundinya yang berpendidikan tinggi serta sofistikated itu tidak dipengaruhi oleh pangkat dan janji manis, lebih kepada pengisian dan kebolehan.
Tun Razak yang muda
Kemudian, ada Rafizi Ramli. Jika ada seorang yang telah memalukan kerajaan Barisan pada hari ini, Rafizilah orangnya. Jika Barisan, terutama sekali UMNO, akan kalah pada pilihanraya umum yang akan datang, ia adalah hasil usaha Rafizi yang tidak pernah jemu mendedahkan skandal dan korupsi NFC yang melibatkan Menteri Wanita yang juga dari barisan UMNO BN.
Kesungguhan Rafizi menyamai ketelitiannya dalam mencari bukti korupsi peringkat nasional. Kemudian dengan cemerlangnya, dia mendedahkan butir-butir dalam skandal itu sikit demi sedikit, memerangkap lawannya.
Sharizat dan keluarganya telah jatuh tersungkur ke dalam perangkap Rafizi.
Apabila butir-butir ringkas yang pertama telah diturunkan, pegawai NFC cepat bertindak balas dengan membuat penafian. Kemudian setelah berjaya terjebak ke dalam perangkap, Rafizi menerkam kepada mereka dengan mendedahkan lebih banyak fakta, memaksa mereka menarik balik penafian awal itu.
Mereka memandang rendah keupayaan Rafizi, mereka mengemukakan satu lagi pertahanan kuat, tetapi ia telah dirobohkan oleh Rafizi dengan satu lagi pendedahan.
Rafizi menjadikan mereka kelihatan begitu bodoh, tidak cekap, atau kedua-duanya sekali, selain daripada melanggar undang-undang.
Apabila Rafizi mengeluarkan fakta pembelian kondominium mewah, pegawai NFC pada mulanya menafikannya dan cuba untuk melakukan serangan peribadi dengan merendah-rendahkan Rafizi, namun, mereka dengan cepat berundur apabila Rafizi mengeluarkan butir-butir yang lebih sulit. Selepas ini mereka cuba untuk merasionalkan pembelian sebagai ‘pelaburan’! Pengurus NFC bukanlah satu-satunya yang diperangkap oleh Rafizi. Ketua Polis yang pada mulanya menolak dakwaan terpaksa menarik balik dan membuka semula siasatan. Sekarang, pegawai penyiasat yang bijak pandai telah mencadangkan agar pegawai NFC dikenakan dakwaan pecah amanah, pada asasnya untuk menghalang pegawai atasan daripada mencampuri siasatan.
Semua akuan-akuan yang bercanggah ini mendorong Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz untuk memberitahu pegawai NFC supaya menutup mulut mereka, nasihat yang sangat aneh dari seorang ahli politik yang biasanya tidak berhenti bercakap.
Perangkap Rafizi yang terbesar adalah pemfailan saman fitnah oleh Shahrizat terhadapnya. Dalam prosiding sivil yang berbeza daripada jenayah, kedua-dua plaintif dan defendan tertakluk kepada soal siasat dari mahkamah. Sekarang Rafizi akan mempunyai peluang di mana mereka yang terlibat perlu memberi keterangan bersumpah di mahkamah secara terbuka. Saman fitnah terbukti cara yang paling berkesan untuk mendedahkan adanya rasuah dalam politik, kerajaan dan perniagaan yang telah mencengkam negara kita sejak beberapa dekad lalu. Dari segi perbezaan jumlah RM250 juta ini skandal NFC agak kecil berbanding skandal kejatuhan pertukaran asing Bank Negara atau Pelabuhan Bebas Cukai Klang (PKFZ). Walaupun kurang dalam nilai wang, jika berbanding dengan pendedahan korupsi yang menjijikkan, terutamanya kerakusan dan keangkuhan ahli politik tertinggi UMNO, ia tiada nilainya.
Rafizi Ramli mengingatkan saya pada Tun Razak yang muda. Seperti dia, Rafizi berasal dari sebuah kampung di pantai timur Malaysia (Terengganu bagi Rafizi, Pahang bagi Razak). Kedua-duanya merupakan pelajar cemerlang di Kolej Melayu, dan kedua-duanya telah dihantar ke Britain atas biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional, undang-undang untuk Razak dan kejuruteraan untuk Rafizi. Sekali lagi, kedua-dua mereka telah mempunyai kerjaya yang baik sebelum berkecimpung dalam bidang politik. Razak mungkin telah menjadi anak negeri yang pertama memegang jawatan ‘Gabenor-Jeneral British’ di Malaysia. Beliau telah meninggalkan itu dan menyertai UMNO pada masa ganjaran pangkat mahupun kebendaan belum tentu diperolehi.
Rafizi telah mempunyai kerjaya "fast track" di PETRONAS dan mungkin juga boleh menjadi CEO pada masa depan tetapi meninggalkan itu semua untuk menyertai Keadilan yang pada masa parti itu tidak mempunyai kuasa politik langsung.
Musuh utama Razak pada masa itu adalah mereka yang berkulit putih, orang British yang berfikiran kolot dan bersifat kolonial; bagi Rafizi pula, tidak kurang menggerunkan orang-orang berkulit sederhana gelap, panglima UMNO yang berfikiran ala feudal yang sudah berakar umbi tetapi menyamar sebagai nasionalis Melayu.
Ia lebih senang untuk memperlekehkan Rafizi seperti wartawan bebas yang menyelongkar korupsi demi untuk mencari publisiti atau untuk memanggilnya dengan pelbagai nama, seperti Menteri Wanita Shahrizat telah lakukan. Kesilapan mereka adalah memandang rendah kepadanya, seperti ramai yang di dalam UMNO. Mereka yang tamak dan tidak malu kerana terlibat dalam skandal NFC lebih baik menjawab sahaja persoalan yang didedahkan oleh Rafizi, dan perlu berbuat demikian tanpa memperkecilkan kebijaksanaan rakyat Malaysia.
Rafizi tidak mungkin boleh mendapatkan butir-butir dan dokumen penting tanpa bantuan ‘dalaman’. Mereka yang telah memilih untuk mengamanahkan ini kepadanya mencerminkan keyakinan mereka terhadapnya. Itu adalah kayu ukuran bagi lelaki muda yang pintar ini.
Rafizi Ramli, Nik Nazmi, Tze Szin dan Nurrul Izzah bukan hanya bintang yang bersinar dalam parti Keadilan, mereka juga milik Malaysia. Merekalah pemimpin muda yang berkaliber yang akan memimpin Malaysia ke arah masa hadapan yang lebih cerah.
M Bakri Musa adalah seorang penulis terkemuka Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan