Rabu, 21 Mac 2012

Anwar tidak wajar dilantik penasihat ekonomi

"Nampaknya orang ini tidak mampu memimpin dan menerajui pembangunan ekonomi Selangor," kata Hasan Ali.


Sekitar Dun Selangor


SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali mendakwa Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar diangkat sebagai pemimpin untuk membantu pembangunan ekonomi di negeri itu ekoran berdepan dengan pelbagai masalah moral.

Walaupun beliau tidak menyebut nama Anwar tetapi ucapannya jelas merujuk kepada penasihat ekonomi negeri Selangor itu.

“Saya tidak tuju kepada sesiapa namun sama sekali saya tidak setuju jika kita lupakan aspek moral seseorang yang menjaga ekonomi negeri Selangor.

“Sedangkan cabaran pembangunan adalah untuk 20 hingga 30 tahun akan datang dan ia melibatkan cabaran moral, akhlak dan kemanusiaan.

“Nampaknya orang ini tidak mampu memimpin dan menerajui pembangunan ekonomi Selangor,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Dewan Undangan Negeri Selangor (Dun) di sini petang ini.

Beliau yang juga bekas exco kerajaan negeri Selangor turut mempersoalkan sikap seorang individu yang menjawat jawatan tertinggi di tiga buah syarikat di Selangor apabila menerima elaun, termasuk berbelanja mewah sehingga ratusan ribu ringgit.

“Individu ini pergi ke Shanghai (China), Chiangmai (Thailand) dan Perth (Australia) membabitkan kos kira-kira RM130,000 dalam tahun yang sama. Saya bukan iri hati tapi saya memikirkan tentang hak rakyat.

“Saya hairan kenapa dia asyik ke luar negara dan seolah-olah tiada kerja dalam negeri ini. Sebab itu, saya cadangkan hadkan bilangan untuk seseorang itu menjawat jawatan. Kalau dia nak pegang jawatan yang banyak pun, kita kena hadkan elaun yang diterima,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau mendakwa Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai tidak serius dalam menangani permasalahan murtad di negeri itu.

Katanya kenyataan Abdul Khalid yang mahu keluarga seseorang mangsa murtad dan rakyat menyelesaikan sendiri masalah itu dianggap tidak wajar serta memberi gambaran bahawa Menteri Besar bersikap lepas tangan dalam isu tersebut.

Ujar beliau, kerajaan negeri sepatutnya menambah bilangan pegawaai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi memastikan usaha ini giat dijalankan.

“Dengan pertambahan bilangan penguatkuasa, kerajaan negeri juga boleh cadangkan menubuhkan satu unit khas untuk tangani bukan saja gejala murtad, tetapi juga zina, arak dan pelbagai isu moral lain lagi,” katanya yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jawapan Abdul Khalid dalam sidang Dun mengenai isu murtad di negeri Selangor.

Terdahulu, Abdul Khalid ketika menjawab pertanyaan Adun-BN Sungai Burung Shamsudin Mohd Lias mengenai statistik kes murtad di Selangor, berkata sebanyak 130 kes murtad direkodkan dari tahun 2004 hingga 2011, dengan 16 kes daripadanya sudah diselesaikan.

Tiada ulasan: