Selasa, 8 November 2016

YANG PENTING DAKWAAN AZMIN DIAKUI BETUL OLEH PMO

 shahbudindotcom


Apabila Menteri Besar Selangor, Azmin Ali baru-baru ini mendakwa bahawa Najib Razak cuba meletakkan bekas pegawai kanannya sebagai timbalan pengerusi SPR, tetapi ditolak oleh Majlis Raja-Raja, beliau barangkali sengaja melakukannya dengan fakta yang tidak begitu tepat.

Mustahil beliau tidak tahu ketepatannya kerana sebagai Menteri Besar, Azmin turut hadir dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja itu mengiringi Sultan Selangor.

Tujuannya ialah untuk melihat sama ada Najib berani menafi atau mengesahkannya bagi membuktikan kesahihan dakwaan wujudnya percubaan campurtangan BN dalam badan pegendali pilihanraya itu.

Tetapi, melalui kenyataan oleh Pengarah Media Pejabat Perdana Menteri, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad semalam, ia dengan sendirinya mengesahkan dakwaan Azmin itu adalah benar.
 
 
 
 
Dalam kenyataan medianya, Tengku Sariffuddin memberitahu, kertas cadangan untuk melantik bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Shukry Mohd Salleh sebagai Timbalan Pengerusi SPR tidak dibentang dan dibincang dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Kata beliau, cadangan itu telah ditarik balik sebelum mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan.

Soalnya, mengapa kertas cadangan itu ditarik balik sebelum mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan?

Adakah Najib dapat merasakan cadangan itu sukar diterima oleh Majlis Raja-Raja atau kerana sebab-sebab lain?

Adakah cadangan itu hanya ditarik sementara atau ditarik terus? 

Jika cadangan nama Shukry ditarik balik, kenapa tidak dicadangan nama lain dan jawatan timbalan pengerusi SPR itu dibiarkan kosong sehingga kini?

Tidak mustahilkah cadangan yang sama akan dikemukakan semula di lain masa?

Yang penting ialah dengan kenyataan media itu, PMO dengan sendirinya telah mengesahkan dan mengakui memang benar ada percubaan oleh Najib untuk meletakkan bekas pegawai kanannya di kedudukan penting dalam SPR.

Jerat Azmin ternyata sudah mengena.
 
 
 

Tiada ulasan: