Isnin, 21 November 2016

Takziah buat Rafizi Ramli

DETIK DAILY
 

 
Oleh Subky Latif


SEKALIPUN saya tidak gembira dengan politik Rafizi Ramli yang menyokong road show orang-oang yang keluar PAS menubuhkan parti sendiri, tetapi tetap pilu atas hukuman penjara 18 bulan terhadapnya.

Saya menerimanya sebagai inna lillah waina ilaihi rajiun. Ia satu musibah seperti seberat kematian seseorang. Sekalipun Rafizi tidak mati dengan hukuman mahkamah itu, tetapi ia adalah keputusan hendak mematikan politiknya dan orang-orang yang berjuang bersamanya.
   
Ia seperti membunuh politik kebenaran dan keadilan, bagi demokrasi dan kebebasan.
  
Yang terhukum itu bukan Rafizi saja. Ia menghukum sekalian pejuang prodemokrasi, prokeadilan dan prokebenaran, ia mematahkan gerakan mendaulatkan undang-undang, anti rasuah dan anti penyelewengan.
  
Maka sayogia Rafizi dan keluarga serta rakan seperjuangan diberi ucapan takziah atas musibah yang dihadapinya. Takziah itu tidak sekadar buat Rafizi dan keluarga, bahkan adalah untuk kita semua. Maka Rafizi dan semuanya jangan putus asa atas segala yang terjadi itu dan tidak menyesal atas tindakannya yang menyebabkan dia dihukum sebegitu rupa.
  
Berbanyak sabar bagi lazimnya orang-orang yang menerima ujian. Jika diuji dengan musibah berbanyak sabar, jika diuji dengan nikmat bersyukur.
   
Dia telah melakukan kerja yang mulia, yang diketahuinya tindakannya mendedahkan sebagian daripada kandungan penyelewngan 1MDB yang diOSA berisiko tinggi seperti yang dikenakan kepadanya sekarang. Dia wajar dipuji demi keberanian memberi bukti jenayah skandal itu sesuatu mesti didedahkan.
  
Yang didedahkan itu tidak semestinya palsu tetapi ia telah dijadikan barang larangan didedahkan. Ia jadi larangan bukan ia rahsia besar, tetapi rahsia umum yang cicak mengkarung pun tahu mengenainya, dijadikan larangan bagi melindungi bapak-bapak skandal bertanggungjawab atas kecurangannya.
    
Sistem undang-undang diperalat bagi melindungi penyelewengan orang atas. Maka sistem keadilan kita sudah dilihat sebagai undang-undang yang membebaskan si penikam, dua saksi tergantung. Bunyinya macam mencarut, tetapi politik dan demokrasi kita memang layak dicarut.
   
Rafizi belum dipenjarakan. Dia merayu dulu. Rayuan adalah hak dan peluang bagi yang dijatuhkan hukum bagi membela tidak bersalahnya. Tetapi kes-kes politik tidak begitu meyakinkan ia peluang bagi mendapatkan keadilan. Ia kira-kira peluang bagi menangguh menjalani hukuman.
    
Keputusan mahkamah atasnya tidak diterima orang ramai. Macam Datuk Harun Idris. Dihukum dan dipenjara. Orang ramai tolak keputusan itu. Datuk Seri Anwar Ibrahim. Orang tak terima. Maka Rafizi ini juga orang tak terima. Apa jadi pada sistem kejaksaan apabila rakyat tak terima.
   
Rafizi dijatuhkan hukum atas jenayah mendedahkan kejahatan orang yang disyaki penjenayah. Perkara yang didedahkannya bukan satu rahsia yang semua patut patuhi. Ia adalah seperti jenayah-jenayah lain.
    
Tetapi kerana yang bersangkut dengan 1MDB sudah masukkan dalam OSA maka jadi salah jika diungkit. OSA yang ada itu sendiri dipersoal keadilannya. Ia dikira undang-undang zalim. Ia sangat senang disalahguna. Kemudian sisatan 1MDB dimasukkan dalam OSA dipertikai adilnya. Hal yang dirasakan tidak adil itu dimasukkan pula dalam OSA yang tidak adil itu. Maka  semuanya keadilan buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.
   
Dengan hukuman itu Rafizi hilang kelayakan bertanding dalam PRU14. Ketiadaannya dalam Parlimen bukan kerugian bagi partinya PKR dan pembangkang, tapi kerugian untuk semua, untuk Parlimen, rakyat dan negara.
  
Percayalah Rafizi tidak mati. Orang sepertinya jika bekerja untuk Islam sentiasa dikira melakukan jihad yang besar. Mengata zalim kepada yang zalim, tinggi kedudukannya dalam Islam. –

Tiada ulasan: