Ahad, 13 November 2016

PAS tak bersama PH bukan bermaksud sokong BN

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic


PETALING JAYA: PAS menafikan tuduhan Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa parti itu idak mahu menyertai kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) kerana menyokong Barisan Nasional (BN).
Mursyidul Amnya Hashim Jasin sebaliknya menegaskan, PAS terbuka untuk melakukan rundingan tetapi ia hendaklah dilakukan secara dua hala dan mengikut pertimbangan yang wajar.
Malah Hashim, menggesa mana-mana pihak supaya tidak menuduh mereka bersekongkol dengan BN.
"Kita begini, dalam PAS, biarpun dia tu musuh, tapi tak dilarang untuk berjumpa dan berbincang. Agama tak larang. Jadi sekarang ni, kalau dia nak bincang dengan kita dalam apa-apa persoalan, kita terbuka.
"Kita sedia dengar, dan dia pun mesti sedia dengar apa yang kita cakap. Lepas tu kita timbanglah," katanya kepada pemberita.
Mengulas mengenai kenyataan Mahathir bahawa PAS mendapat dedak daripada BN itu, Hashim berkata ia sekadar pandangan bekas perdana menteri itu saja.
"Itu pandangan dia. Saya ada pandangan saya sendiri. Tak semestinya saya kena ikut apa yang Mahathir kata.
"Saya ada cara dan pegangan saya sendiri bahawa tidak semestinya kita tak sokong Pakatan maka kita sokong Najib," katanya lagi.
Hashim berkata kepada pemberita pada himpunan Ledakan Suara Rakyat (LASAK) anjuran PAS Selangor hari ini.
LASAK yang dianjurkan oleh PAS Selangor di Taman Medan, Petaling Jaya hari ini sebagai medium untuk mendengar keluhan rakyat Selangor kepada pimpinan parti berkenaan isu kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini.
Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa mana-mana pihak yang mencetuskan masalah terhadap PH adalah penyokong Datuk Seri Najib Razak.
Malah menegaskan PH yang merangkumi PKR, DAP dan AMANAH harus diberikan sokongan bulat untuk menjatuhkan Najib dan mereka yang enggan turut serta berkemungkinan sudah 'dapat dedak'. 
Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pihak, tetapi kenyataan tersebut jelas ditujukan kepada PAS yang menyatakan secara jelas pendirian mereka untuk tidak menyertai PH.

Tiada ulasan: