Isnin, 28 November 2016

Muktamar syor amal konsep syura dalam pemilihan parti

MOHD FADLI GHANI


 


HARI INI DALAM  SEJARAH PAS: MUKTAMAR SYOR PAS AMALKAN KONSEP SYURA DALAM PEMILIHAN PARTI (27 NOVEMBER 1978)

PADA hari ini dalam tahun 1978, Muktamar Tahunan PAS Ke-24 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur telah memutuskan satu syor supaya PAS mengamalkan konsep syura yang lebih kolektif dalam pemilihan parti. Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung antara 25-27 November 1978 ini adalah yang pertama diadakan selepas PAS mengalami krisis politik sehingga dipecat dari BN, yang antara lain kerana faktor kepemimpinan yang dilihat mulai mengamalkan politik perpuakan selepas PAS menyertai Kerajaan Campuran pada 1 Januari 1973. Muktamar Tahunan PAS Ke-24 ini telah memberikan perhatian terhadap isu-isu dalaman parti termasuk kegagalan PAS menyediakan rancangan jangka panjang, strategi politik yang berkesan dan tidak mempunyai garis pergerakan politik yang jelas.

Politik dalaman PAS telah bergolak sejak 1974 selepas Pilihan Raya Umum Keempat di mana berlaku campur tangan dalam Umno perlantikan Menteri Besar Kelantan. Isu Menteri Besar Kelantan ini berpanjang sehingga Dato' Mohamad Nasir dipecat dari PAS pada 10 Oktober 1977 dan diikuti oleh usul undi tidak percaya terhadap beliau di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977. Pada 13 Disember 1977, PAS telah dipecat dari BN. Atas sokongan Umno, Dato' Mohamad Nasir telah menubuhkan parti Berjasa untuk menyaingi PAS dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan pada 11 Mac 1978 di mana PAS telah kehilangan kerajaan negeri.

Isu yang besar berlaku ketika ini ialah masalah politik perpuakan yang membentuk persepsi hasil manipulasi media, yang kemudiannya turut melibatkan isu kronisme dan nepotisme. Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda menerima kritikan paling keras kerana kedudukan beliau sebagai pemimpin utama PAS, di mana sebahagian pemimpin utama PAS dikatakan 'kroni' beliau. Antaranya Wan Ismail Ibrahim, Haji Zahari Awang, Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim, Wan Manan, Haji Hassan Mohamad dan lain-lain. Manakala tokoh yang dikaitkan dengan keluarga Dato' Mohd Asri Haji Muda termasuklah Ustaz Salahuddin Abdullah (Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan), Ustazah Datin Sakinah Junid (Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat), Ustaz Dato' Ishak Lotfi Omar (Pesuruhjaya PAS Kelantan) dan Ustaz Mohamad Junid (Exco Kerajaan Perak). Manipulasi media yang dilakukan oleh musuh-musuh politik beliau, dengan mendakwa PAS sebagai "Parti Asri Sekeluarga." Apabila Dato' Mohd Asri Haji Muda berkrisis dengan Ustaz Abu Bakar Hamzah, Dato' Mohamad Nasir, Cikgu Mustafa Ali, Ustaz Amaluddin Darus dan lain-lain, isu 'demokrasi terpimpin' dan 'pemimpin buat al-Quran' telah dijadikan senjata untuk menyerang pemimpin utama PAS itu.

Bertolak daripada isu-isu kepemimpinan yang dimanipulasikan oleh media ini, Muktamar Tahunan PAS Ke-24 telah meluluskan satu usul pada 27 November 1978 supaya PAS mengamalkan konsep kepemimpinan yang kolektif dan pemilihan parti yang berasaskan konsep syura, supaya isu-isu seperti ini dapat diatasi. Jawatankuasa Kerja Agung PAS kemudiannya membentuk sebuah Jawatankuasa Kecil yang diketuai oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS, Dr Daeng Sanusi Mariok untuk mengkaji semula amalan pemilihan parti dalam PAS supaya ia mengikuti amalan syura. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Kecil ini dalam laporannya merumuskan bahawa tatacara pemilihan PAS tidak bertentangan dengan Islam, di samping mengesyorkan supaya beberapa amalan tidak sihat seperti melobi dan kempen-mengempen dielakkan. Bertolak daripada itu juga, Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat pada 7 September 1979 telah memulakan amalan syura di mana sebuah Jawatankuasa Menapis Calon yang diketuai oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dibentuk untuk menapis calon-calon yang layak bertanding bagi kepemimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 1979-1981.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS

Tiada ulasan: