Isnin, 21 November 2016

MENTERI SSK JADI "MABUK KETUM" DEK PENANGAN BERSIH 5?

shahbudindotcom


Satu-satunya menteri UMNO yang ternampak paling susah hati dan tidak tenteram jiwanya selepas perhimpunan Bersih 5 ialah Salleh Said Keruak, pemimpin yang ditanggapi ramai dilantik menganggotai kabinet bukan kerana kelayakan dan kewibawaan, sebaliknya hanya disebabkan bijak mengambil kesempatan berikutan krisis antara Najib Razak dengan Tun Mahathir Mohamad.

Hanya dalam tempoh dua hari, kenyataan dan pemikirannya terlihat jauh berbeza yang jelas menunjukkan kecelaruan dan ketidak-tenteraman jiwa terhadap perhimpunan Bersih 5.

Nasib baik beliau sudah tua dan berusia, jika budak-budak remaja yang berkelakuan sebegitu rupa, sudah tentu tanggapannya ialah  mabuk ketum sebagai puncanya.
 
 
 
 
Beberapa jam selepas perhimpunan Bersih 5 berakhir, Salleh menulis di blognya dengan menyalahkan kehadiran yang rendah dalam perhimpunan itu disebabkan oleh Tun Mahathir.

"Kesan penyertaan Tun Mahathir dan kroninya dalam Bersih 5 menyebabkan jumlah kehadiran menurun hampir 97 peratus.

"Orang Melayu melihat melalui agenda pentingkan dirinya sendiri dan enggan hadir. Dan ribuan orang Cina yang menghadiri Bersih tahun lalu meluat dengan kehadiran Tun Mahathir, lalu memilih untuk duduk di rumah, " tulisnya lagi.

Beliau turut membandingkan angka kehadiran dalam Bersih 5 yang dianggarkan pihak polis seramai 15,500 dan sebuah portal yang menyebut seramai 41,000 dengan kehadiran dalam Bersih 4 yang dianggarkan berjumlah 500 ribu orang.

Kesimpulannya, bagi Salleh Said Keruak atau SSK, perhimpunan Bersih 5 adalah gagal dan tidak mendapat sambutan.

Bagaimanapun, hari ini Salleh menulis lagi di blognya dengan berkata, kehadiran yang besar dalam perhimpunan yang dianjurkan oleh pembangkang bukanlah kayu ukur kepada sokongan rakyat.

Katanya, jika kehadiran dalam perhimpunan menjadi ukuran, pembangkang sepatutnya sudah menang pilihanraya pada tahun 1999 lagi.

Sebaliknya, kata beliau, rakyat lebih gemar melihat mengenai rancangan dan dasar kerajaan serta jaminan masa depan untuk mereka.

Kita tidak harus menang sorak, kampung tergadai," ujarnya.

Jika dilihat daripada kedua-dua tulisan itu, ia jelas mempunyai maksud yang berbeza. Dalam tulisan pertama, beliau cuba memberitahu bahawa Bersih 5 tidak mendapat sambutan serta lebih ramai yang memilih duduk di rumah kegagalan itu berpunca daripada Tun Mahathir.

Dalam tulisan kedua pula beliau cuba menggambarkan bahawa kehadiran yang ramai bukan kayu ukur kepada sokongan rakyat dan penentu kemenangan dalam pilihanraya.
 
 
 
 
Dalam hal ini, apakah pemahaman sebenar Salleh mengenai kehadiran dalam Bersih 5 kali ini - tidak ramai dan gagal atau telah mendapat sambutan yang hangat dan berjaya?

Sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang mana beliau boleh dianggap sebagai "Bapa Propaganda" kepada Najib, UMNO dan BN, apa yang sebenarnya yang cuba disampaikannya dan yang mana satu tulisannya itu boleh dipakai?

Mengapa hanya dalam tempoh dua hari fikirannya sudah berubah? Bukankah kita mesti konsisten dengan pendirian?

Adakah ia disebabkan susah hati dan tidak tenteram jiwa tentang hampirnya hilang kuasa dan baru disedarinya bahawa rakyat semakin berani menunjukkan penolakan terhadap Najib?

Bolehkah dipercayai lagi tulisan Salleh seterusnya yang jelas tidak lebih  umpama sebuah cerita rekaan daripada bilik berhawa diingin semata-mata? 
 
 
 

Tiada ulasan: