Isnin, 21 November 2016

MCA bantah sikap timbalan menteri, berita buruk untuk BN

MALAYSIA DATELINE
 
 
Tajuddin Abdul RahmanTajuddin Abdul Rahman
MCA menyelar Ahli Parlimen Pasir Salak dari BN, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang membuat kenyataan seksis dan menghina Ahli Parlimen Seputeh daripada DAP, Teresa Kok.

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, tidak sewajarnya seorang timbalan menteri bersikap kebudak-budakan seperti itu dan mempermainkan nama keluarga.

“Meskipun kami di bahagian berbeza dan tahu komen Teresa sering mencari salah MCA, parti kami tidak bertolak ansur dengan apa jua bentuk kekasaran dibuat ahli Parlimen lelaki.

“Apatah lagi daripada seorang timbalan menteri terhadap nama wanita Malaysia berbangsa Cina, dan ditambah lagi dikiaskan dengan alat sulit lelaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan Rakyat hari ini berkata, hanya Teresa sahaja yang ada "Kok".

Sebutan nama 'kok' mirip dengan istilah bagi alat kelamin lelaki dalam bahasa Inggeris.

Chew yang juga Timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat mendesak Tajuddin menunjukkan lebih rasa hormat kepada wanita dan bangsa Cina Malaysia dan memohon maaf atas perbuataannya itu.

Beliau berkata, tugas ahli Parlimen di Dewan Rakyat adalah membahaskan dasar kerajaan dan isu negara yang memberi kesan terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial rakyat.

“Bukannya untuk menyalahgunakan imuniti seseorang dengan menghina nama keluarga ahli Parlimen Seputeh.

“Tingkah laku tidak sopan Tajuddin ialah cerminan yang fikirannya rosak. Tidak sepatutnya tindakan itu dilakukan seorang timbalan menteri,” katanya.

“Jika Tajuddin seorang lelaki yang ada kelas dan pendidikan, dia akan melayan orang Cina Malaysia dengan hormat, dan tidak mempamerkan sikap teruk terhadap wanita.

“Mungkin tindakannya itu satu pengakuan yang mana-mana orang Cina Malaysia dengan nama keluarga ‘Kok’ jelasnya lebih ‘lelaki’ berbanding dia,” katanya.

Tiada ulasan: