Isnin, 28 November 2016

Kos tunaikan haji kekal RM9,980 seorang

SINAR HARIAN
 
 
Tunai Haji
Foto EPA


KUALA NERUS - Kos bagi mengerjakan haji pada musim haji akan datang kekal seperti sembilan tahun lepas iaitu RM9,980 bagi seorang jemaah haji.   

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan bayaran tersebut walaupun jumlah kos sebenar bagi seorang jemaah muassasah kini ialah RM19,550 berbanding RM18,890 seorang pada tahun lepas.  

"Ini menjadikan jumlah subsidi yang ditanggung oleh pihak TH berjumlah RM9,570 setiap seorang manakala jumlah subsidi keseluruhan adalah berjumlah lebih RM200 juta," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-33 di sini hari ini.  

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib.  

Jamil Khir dalam pada itu berkata, surat tawaran kepada 22,320 bakal jemaah haji telah dikeluarkan bermula 2 November lepas dan kini ada di antara mereka mula menghadiri kursus mengerjakan ibadah haji.

"Pada musim haji akan datang, penerbangan pertama jemaah haji dari negara ini adalah pada 24 Julai 2017 manakala penerbangan terakhir pula adalah pada 25 Ogos 2017.   

"Hari wukuf pula dijangkakan pada 31 Ogos 2017. Bagi penerbangan pertama pulang ke tanah air selepas selesai ibadat haji ialah pada 7 September 2017 dan penerbangan terakhir pula ialah pada 4 Oktober 2017," katanya.  

Sementara itu, muzakarah yang berlangsung selama empat hari bermula 25 November lepas dan berakhir hari ini itu memberi peluang kepada lebih 300 para ilmuan agama dan pembimbing ibadah haji berkongsi ilmu serta menetapkan keseragaman hukum-hakam berkaitan ibadah haji, umrah dan ziarah demi kepentingan jemaah haji di negara ini. - Bernama

Tiada ulasan: