Ahad, 13 November 2016

Jamal jangan tembak saya, saya panglima Najib dan Rosmah, kata Ali Tinju

Gambar fail Malaysia Gazette
Gambar fail Malaysia Gazette


Bimbang akan keselamatan diri selepas diugut akan ditembak, Presiden Gerakan Baju Merah Mohd Ali Baharom atau dikenali sebagai Ali Tinju membuat laporan polis terhadap ugutan yang diterimanya daripada Ketua Bahagian Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos hari ini.

Ali mendakwa diugut akan ditembak rakannya itu jika masih mengkritiknya tidak layak untuk bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar nanti.

Ali berkata tidak gentar dengan ugutan, tetapi mengingatkan Jamal jika beliau mati siapa yang akan menjaga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Saya nak nasihat Jamal jangan sombong dan ego dengan pistol yang kamu ada, negara ini ada undang-undang, tindakannya itu memalukan parti, kalau Jamal tembak mati ahli Umno, tembak mati saya sebagai panglima Datuk Seri Najib, siapa yang nak jaga Datuk Najib dan Datin Seri Rosmah?


“Saya tidak ada kepentingan kenapa nak tembak saya? Saya Ali Tinju tidak goyang, kalau Datuk Jamal nak bertumbuk cari gelanggang bertumbuk dengan saya, kalau dia anak jantan, jangan fikir kamu ada duit kamu boleh bayar orang, kami NGO ini bukan bodoh,” kata Ali yang dipetik dalam laporan media sejurus membuat laporan polis di Dang Wangi tadi.

Ali juga mengulangi pendiriannya Jamal bukan calon yang sesuai diletak Umno bertanding di Sungai Besar.

“Saya nak ulang lagi sekali, kalau Datuk Jamal bertanding di PRK Sungai Besar, rakyat ibarat telah memilih seorang samseng dalam politik Umno dan Barisan Nasional, malah Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Zahid Hamidi tidak pernah ajar ketua UMNO bahagian jadi samseng,” katanya.

Ali merupakan kawan karib kepada Jamal terutamanya semasa menganjurkan Perhimpunan Baju Merah pada 16 September tahun lalu.

Spekulasi mengatakan Jamal sedang melobi dirinya sebagai calon di Sungai Besar.

Tiada ulasan: