Selasa, 29 November 2016

Impian Sabah: Doktor redah hutan, sungai beri rawatan percuma

kem-kesihatan6

Oleh Hafiz Zainuddin


PENSIANGAN: Menjangkau dan membantu masyarakat pedalaman yang terpinggir dari arus pembangunan bukan sekadar coretan pengalaman semata-mata tetapi juga satu usaha mulia memartabatkan nilai manusiawi.

Begitulah yang dapat disimpulkan dari usaha murni Impian Sabah yang mengisi kelompongan dan kegagalan sistem penyampaian khidmat kerajaan melalui penganjuran Kem Kesihatan percuma kepada mereka yang terpinggir menikmati kemudahan itu dengan sempurna.

kem-kesihatan9 

Kem Kesihatan Impian Sabah merupakan langkah pro-aktif khidmat kesihatan percuma kepada golongan sasar.

Ia telah dianjurkan dengan jayanya buat kali kedua pertengahan bulan lalu di Pensiangan, sebuah daerah luar bandar yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

Apa yang membanggakan, masih ramai golongan doktor termasuk pakar dari serata Malaysia sanggup turun ke pedalaman Sabah meredah hutan, sungai dan perjalanan yang panjang demi berbakti kepada mereka yang memerlukan.

kem-kesihatan8

Semangat kesukarelawanan yang ditonjolkan golongan itu tanpa mengenal warna kulit, agama, budaya dan taraf ekonomi wajar menjadi contoh kepada seluruh peringkat masyarakat sesuai dengan slogan Malaysia untuk rakyat Malaysia.

Menurut Penyelaras DAP Pensiangan Adrian Lasimbang, Kem Kesihatan kali kedua di Pensiangan ini merupakan kesinambungan kem kesihatan yang dianjurkan September lalu meliputi tiga buah kampung di daerah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook iaitu di Kampung Simbuan, Kampung Dalit dan Kampung Bonor dengan kehadiran lebih 750 pesakit.

kem-kesihatan7 

Pada kali ini, kem itu yang diadakan di Pekan Pensiangan, Kampung Inakaak dan Kambung Balaron DUN Nabawan turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 600 pesakit.

“Selain pemeriksaan dan konsultasi kesihatan, Kem Kesihatan ini turut menyediakan rawatan pergigian dan pemeriksaan mata kepada penduduk yang memerlukan di samping membekalkan ubat-ubatan secara percuma melalui kaunter farmasi.

“Mereka yang mempunyai masalah penglihatan mendapat cermin mata percuma,” jelasnya.

Penyelaras Kem Kesihatan Impian Sabah Ho Chung Shin berkata, jumlah penduduk yang hadir untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan melebihi jangkaan.

“Saya ucapkan ribuan penghargaan kepada penduduk khususnya pemimpin-pemimpin masyarakat setempat yang telah membantu menjayakan misi ini.

“Jumlah kehadiran yang besar ini adalah petunjuk yang jelas kepada keperluan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik dan keperluan mendesak rakyat di kawasan pedalaman,” katanya.

kemkesihatan1

Kem Kesihatan yang dianjurkan oleh Impian Sabah merupakan salah satu inisiatif DAP Sabah dalam membantu dan menjangkau keperluan asas masyarakat pedalaman yang terpinggir.

Selain Kem Kesihatan, Impian Sabah turut melaksanakan kem-kem pendidikan yang memberi fokus kepada pendidikan kanak-kanak.

Impian Sabah juga turut aktif menjalankan projek-projek infrastruktur seperti menyediakan khidmat bekalan air graviti, sistem pengairan, pembinaan jalan raya dan projek janakuasa hidro bagi membekalkan kemudahan elektrik secara percuma kepada penduduk khususnya di pedalaman.

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://impianmalaysia.com/  -Roketkini.com


Tiada ulasan: