Ahad, 20 November 2016

Hukuman penjara pendedah maklumat tunjuk kemarau demokrasi di M’sia

Oleh Nurul Izzah Anwar


Keputusan terkini dari Mahkamah Sesyen Jenayah 3 Kuala Lumpur memutuskan Setiausaha Agung KEADILAN, saudara Rafizi Ramli telah didapati bersalah atas kedua-dua pertuduhan ke atasnya di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA). Kini, saudara Rafizi yang juga berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Pengarah Eksekutif National Oversight and Whistleblowers (NOW) telah dikenakan hukuman penjara selama 18 bulan bagi setiap pendakwaan, yang berjalan serentak.


IMG_9856

Penghukuman ini merupakan kemarau demokrasi yang menafikan rakyat akses kepada maklumat penting berkait penggunaan dana negara yang disalahguna dan disembunyikan menerusi penggunaan Akta Rahsia Rasmi. Aneh, kerana walau siasatan berlangsung sudah dijalankan ke atas penyalahgunaan wang 1MDB, Laporan Ketua Audit Negara tentang 1MDB masih kekal rahsia di bawah OSA.

Walaupun prosiding kehakiman berdasarkan tuduhan-tuduhan rasuah 1MDB telah ditolak oleh badan kehakiman ibu negara kita sendiri, siasatan dan pendakwaan giat berjalan di peringkat antarabangsa. Kes DOJ di Amerika Syarikat telah membuktikan bahawa terdapat sekurang-kurangnya USD$3.5 bilion yang dicuri daripada 1MDB. Meskipun individu-individu yang terbabit dalam penyelewengan dana harta negara telah dikenal pasti, mereka masih mampu melepaskan diri daripada pendakwaan di Malaysia. Malah, individu-individu yang melindungi kepentingan rakyat melalui pembocoran jenayah yang telah dilakukan oleh pimpinan negara pula dikenakan penghukuman.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan Ketua Pembangkang telah membangkitkan kemelut skandal 1MDB secara berterusan selama 5 tahun. Pemenjaraan beliau merampas hak rakyat menerusi wakil mereka untuk mempertanggungjawabkan kerajaan apabila salahguna dana dan kuasa rakyat berlaku. Kini, saudara Rafizi Ramli juga dimangsakan penggunaan undang-undang rimba peninggalan penjajah British. Pendakwaan Rafizi Ramli di bawah Akta Rahsia Rasmi memperluas budaya kerahsiaan dan ketakutan yang tepat-tepat bertentangan dengan prinsip asas demokrasi yang mengutamakan kedaulatan dan kebebasan rakyat.

Sungguhpun saudara Rafizi hanya membuat penampilan maklumat 1MDB demi kepentingan awam, beliau tidak terlindung di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat atas alasan yang meragukan bahawa identiti beliau telah didedahkan. Adalah diakui bahawa isu-isu sensitif seperti yang berkaitan pertahanan keselamatan negara patut dirahsiakan, namun Akta Perlindungan Pemberi Maklumat mesti melindungi pemberi maklumat dan menghormati hak masyarakat untuk mendapatkan akses kepada maklumat berkepentingan awam.

Malah, pindaan ke atas Kanun Keseksaan pada tahun 2013 telah menambah Seksyen 203A yang menentukan bahawa sesiapa yang mendedahkan maklumat yang diperoleh semasa perjalanan tugas boleh disaman sebanyak sejuta ringgit, ataupun dipenjarakan selama satu tahun. Justeru, meskipun seseorang penjawat awam menemui amalan rasuah dalam melaksanakan tugasnya, dia dilarang daripada mendedahkan maklumat kerana berisiko disabitkan atas kesalahan jenayah.

Jelas dilihat bahawa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Akta Rahsia Rasmi, dan juga Seksyen 203A Kanun Keseksaan merupakan undang-undang zalim yang hanya wujud untuk menghukum sesiapa yang berani menampil diri demi memperjuangkan kebenaran.

Demokrasi tidak boleh wujud tanpanya kebebasan maklumat. Saya menyeru agar kerajaan Persekutuan menjadikan kerajaan Pulau Pinang ataupun Selangor sebagai teladan. Pada tahun 2010 dan 2011, masing-masing telah meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat. Adalah tugas kerajaan untuk bersikap telus dan bertanggungjawab, melalui penerbitan maklumat secara sah dan tetap. Sebaliknya, sesuatu kerajaan yang autoritarian mampu mengawal penyebaran maklumat dan meneruskan amalan rasuah dalam kalangan pimpinan negara, seperti dalam skandal 1MDB.

Umum maklum dengan komitmen KEADILAN dalam mengheret mereka yang bertanggungjawab dengan skandal 1MDB dan mana-mana ketirisan urus tadbir negara. Tambahan, dengan wujudnya badan seperti NOW yang berani membuat pendedahan bernas supaya dibawa ke muka pengadilan. Penerusan agenda ini dilakukan walau mereka berhadapan dengan seribu satu tekanan, termasuklah akaun NOW yang diaudit pasca serbuan; sementara kita terus tertanya-tanya tentang perincian akaun 1MDB.

Tiba masanya rakyat menunjukkan penolakan terhadap pemangsaan pemberi maklumat. Saya gesa agar dakwaan OSA ditarik semula memandangkan isu skandal 1MDB ini merupakan isu berkait kepentingan awam. Pendakwaan sedia ada sepatutnya digugurkan terhadap YB Rafizi Ramli memandangkan perincian skandal 1MDB sudah jelas di mata dunia menurut kertas siasatan serta penghukuman di badan keadilan negara-negara lain. Hanya Malaysia sahaja memaparkan keanehan dalam bentuk siasatan dan dakwaan.

Walau satu demi satu pimpinan KEADILAN, Pakatan Harapan serta Pembangkang lainnya disasar, semangat kami tidak akan pudar, bahkan saya yakin dan percaya hukuman yang dijatuhkan ini akan menggerakkan pihak yang selama ini masih selesa menjadi ‘silent majority’ untuk membantah pihak kerajaan.

Bersama kita bersolidariti dengan Rafizi Ramli beserta suara kritis lain dalam memastikan kerajaan berkhidmat untuk rakyat dan bukannya untuk poket sendiri. Hadirlah bersama himpunan #Bersih5. Satukan tenaga kita ke arah membina Malaysia yang lebih baik.

Buat saudara Rafizi, percayalah bahawa kita akan terus menyalakan obor perjuangan reformasi yang lebih semarak pasca kezaliman ini.

* Nurul Izzah merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN.

#BebasRafizi

Tiada ulasan: