Ahad, 6 November 2016

Guan Eng namakan pengerusi DAP Pulau Pinang penggantinya

 
Lim Guan Eng minta DAP menyokong Chow Kon Yeow ambil alih Ketua Menteri Pulau Pinang sekiranya beliau disabit kesalahan rasuah


guan


GEORGE TOWN: Lim Guan Eng hari ini meminta ahli menyokong pengerusi DAP negeri sebagai calon yang wajar mengambil alih jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sekiranya karier politiknya “dibunuh oleh BN”.

Berucap kepada para perwakilan di konvensyen tahunan DAP Pulau Pinang, Guan Eng berkata mereka digesa sokong Chow Kon Yeow sekiranya “rancangan jahat” BN berjaya “membunuh” kerjaya politik beliau.

Setiausaha Agung DAP itu didakwa atas 2 tuduhan rasuah membabitkan pembelian banglo RM2.8 juta di George Town dan transaksi penukaran status tanah yang berkaitan.

Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyifatkan pendakwaan rasuah terhadapnya itu bermotif politik dan langkah tersusun untuk membunuh kerjaya politiknya.

“Sekiranya rancangan jahat BN berjaya menggulingkan saya, saya dengan ini menyokong pengerusi negeri Kon Yeow sebagai pengganti saya. Kamu (BN) boleh tundukkan Lim Guan Eng tapi kamu takkan mampu tundukkan DAP, dan Kon Yeow sedia ambil alih jawatan saya,” katanya.

“Maka, saya minta para perwakilan, semua ahli dan pemimpin supaya menyokong usul mengangkat Kon Yeow sebagai ketua menteri sekiranya BN berjaya melaksanakan rancangan jahat mereka, apa kata kamu semua?” kata Guan Eng kepada 300 perwakilan yang menghadiri konvensyen hari ini, yang menyambut usul itu dengan tepukan gemuruh.

Guan Eng Julai lepas berkata Kon Yeow adalah pilihan “semulajadi” untuk jawatan itu.

Kon Yeow merupakan exco kerajaan tempatan dan Adun Padang Kota selama 2 penggal.

Pada 30 Jun lepas, Guan Eng didakwa di Mahkamah Tinggi kerana menggunakan jawatan atau kedudukan dalam kerajaan untuk suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew, dengan meluluskan permohonan menukar status tanah pertanian untuk tujuan perumahan oleh Magnificent Emblem Sdn Bhd dalam satu mesyuarat exco pada 18 Julai 2014.

Guan Eng juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan dengan membeli sebuah banglo daripada seorang peniaga, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta, lebih rendah daripada nilai pasaran RM4.7 juta, pada 28 Julai 2015.

Guan Eng dan Li Koon mengaku tidak bersalah.

Tiada ulasan: