Sabtu, 26 November 2016

Bekas ahli MIC yang dipecat bakal tubuh parti baru

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic


KUALA LUMPUR: Sekumpulan bekas ahli termasuk bekas pemimpin MIC yang dipecat oleh parti itu bakal menubuhkan parti baru, menurut bekas Bendahari Agung MIC, Datuk R Ramanan. 
Beliau tidak menamakan secara terperinci individu-individu yang terlibat dalam gerakan berkenaan dan mendakwa dirinya juga tidak terlibat. 
Penubuhan parti serpihan itu dikatakan sebagai respon kepada tindakan pemecatan beberapa pemimpin tinggi MIC termasuk bekas Setiausaha Agungnya, AK Ramalingam kerana lantang mengkritik kepimpinan Presiden MIC, Datuk Seri Subramaniam.
"Setahu saya, ada sekumpulan orang yang mengambil keputusan untuk berkemungkinan menubuhkan parti baru. Jadi kalau mereka menubuhkan parti baru, itu adalah hak mereka.
"Kalau mereka rasa mereka mampu tubuhkan parti baru dan boleh mendapatkan sokongan yang padu daripada rakyat, terpulanglah kepada mereka," kata Ramanan kepada pemberita hari ini.
Ramanan yang juga dipecat serentak bersama bekas Setiausaha Agung itu bagaimanapun menolak penglibatannya dalam kumpulan yang mahu menubuhkan parti baru itu.
Mengulas lanjut berkenaan krisis yang berlaku dalam MIC, ia bergantung kepada kepimpinan parti tersebut untuk membuat keputusan sama ada mahu melantik beliau semula ke dalam parti atau tidak.
"Bagi saya buat masa ini saya masih di luar MIC. Saya masih belum balik ke dalam MIC. Saya masih ahli yang sudah dipecat.
"Apa-apa kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak sebelah (Subramaniam), terpulanglah kepada kepimpinan MIC sekarang, mereka mahu saya atau tidak, terpulanglah. 
Subramaniam sebelum ini mengesahkan bahawa krisis parti itu yang berlarutan sekian lama sudah selesai dengan kebanyakkan cawangan parti mendokong kepimpinan beliau. 
Bagaimanpun bekas presiden MIC Datuk G. Palanivel, Ramanan dan beberapa bekas pemimpin parti itu terus menyisih daripada parti itu.   
MIC sebelum ini pernah menyaksikan beberapa parti serpihan ditubuhkan dalam kalangan kaum India oleh kumpulan yang keluar daripada pucuk pimpinan baru parti itu.
Krisis yang berlarutan itu menyebabkan MIC kalah teruk pada pilihan raya umum yang lalu apabila hanya memenangi empat kerusi parlimen. 
Penubuhan parti serpihan bukan fenomena baru dalam sejarah MIC apabila pemimpinnya bertelagah.  
Antara parti serpihan dari MIC yang pernah wujud sebelum ini adalah  Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF), yang ditubuhkan pada 1990 oleh bekas Naib Presiden MIC, Tan Sri M G Pandithan apabila beliau dipecat daripada MIC pada 1988.
Parti Demokratik India Malaysia(DMIP)  juga merupakan  sebuah parti serpihan MIC yang diasaskan pada 19 Oktober 1985.

Tiada ulasan: