Ahad, 13 November 2016

Agong boleh lucut jawatan Perdana Menteri melalui darurat

KUALA LUMPUR 31 AUGUST 2104.    Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan)  bersama Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir di Sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-57 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.NSTP/EFFENDY RASHID
Gambar fail NSTP


Hari ini bermulanya Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242 yang menjadi perhatian rakyat dan juga pemerhati politik antarabangsa.

Mesyuarat yang dianggotai ketua-ketua negeri ‘berdarah biru’ akan membincangkan pelbagai perkara yang melingkari negara kebelakangan ini dan akan berakhir Jumaat ini.

Sehubungan itu, orang ramai ingin mengetahui sebarang reaksi Raja-raja Melayu terhadap desakan yang mahukan Perdana Menteri, Najib Razak melepaskan jawatan.

Ia susulan tindakan kerajaan pimpinan Najib menguatkuasakan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 tanpa menghiraukan pandangan Raja-raja Melayu mengenainya.

Pada masa sama, negara turut terpalit dengan kisah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang merosakkan reputasi kewangan serta ekonomi negara di peringkat dunia.

Kegagalan kerajaan mengatasi kejatuhan nilai ringgit serta mencari jalan keluar kepada kemelut ekonomi domestik juga turut menjadi sebab kepada desakan supaya Najib berundur.

Penulis memahami sebab permintaan untuk Najib melepaskan kedudukannya sebagai ketua kepada Kerajaan Persekutuan, namun permohonan kepada Raja-raja untuk menekan Najib ketika ini dilihat janggal.

Lazimnya, apabila seorang Perdana Menteri itu hilang kepercayaan untuk meneruskan kepemimpinan, usul undi tidak percaya harus dilaksanakan di Parlimen semasa sidang Dewan Rakyat.

Satu lagi kaedah ialah pengundi memilih untuk tidak mengundi parti yang dianggotai Perdana Menteri dan memberikan mandat itu kepada parti lain.

Desakan untuk Perdana Menteri meletakkan jawatan juga boleh dibuat oleh parti yang dipimpin Perdana Menteri itu sendiri, seperti yang pernah berlaku ke atas Bapa Pembangunan Modal Insan, Abdullah Ahmad Badawi.

Itulah kaedah yang dibenarkan mengikut konteks politik dan perundangan negara dan kebiasaannya kita lihat seseorang Perdana Menteri berundur apabila parti pemerintah tidak lagi mempercayai pemimpinnya.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja tidak boleh mengeluarkan titah pengisytiharan tidak percaya kepada Perdana Menteri atau Menteri Besar, apalagi bertindak memecatnya.

Perbuatan sedemikian salah dan mencampuri urusan politik serta perjalanan badan eksekutif selain jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan Raja-raja adalah di atas politik dan hendaklah neutral.

Yang di-Pertuan Agong hanya boleh menyingkirkan Najib dengan menolak pelantikannya sebagai Perdana Menteri jika selepas pilihan raya umum kelak, parti pimpinan Najib itu memperoleh mandat.

Kaedah sama pernah dilakukan oleh Sultan Terengganu, Sultan Perak, dan Raja Perlis dalam pilihan raya terdahulu, yang mana menolak calon Menteri Besar masing-masing ketika itu.

Satu lagi kaedah ialah Yang di-Pertuan Agong menguatkuasakan darurat. Jika ia berlaku, kuasa Perdana Menteri terlucut dan diambil alih oleh Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, tindakan ini hanya boleh dilakukan sekiranya Seri Paduka mendapat nasihat untuk berbuat demikian daripada Jemaah Menteri yang bertanggungjawab.

Ia pernah berlaku pada 13 Mei 1969, di mana Tunku Abdul Rahman hilang kuasa sebagai Perdana Menteri apabila darurat diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Putra ibni almarhum Syed Hassan Jamalullail atas nasihat Jemaah Menteri ketika itu.

Dua lagi kes ketua kerajaan negeri disingkirkan menerusi proklamasi darurat ialah pemecatan Ketua Menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan pada 1966 dan Menteri Besar Kelantan, Muhamed Nasir pada 1977.

Bagaimanapun, mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mengisytiharkan darurat untuk menyingkirkan mana-mana ketua kerajaan tanpa nasihat Jemaah Menteri bertanggungjawab.

Proklamasi darurat terlalu berisiko dan mempunyai impak yang cukup dalam. Justeru, perkara ini harus diperhalusi dengan teliti.

Sebaik-baiknya, pihak yang tidak mahukan Najib ini perlu bertindak mengikut kaedah usul undi tidak percaya di Parlimen, berkempen ketika pilihan raya umum untuk menolak parti Najib atau melobi supaya parti pemerintah menggesa Najib meletakkan jawatan.

Tiada ulasan: