Isnin, 19 November 2012

UNISEL Catit Untung RM127 Juta Selepas Hutang Dipindahkan




SHAH ALAM  : Tindakan Kerajaan Negeri mengambil alih liabiliti Unisel membolehkan universiti tersebut mencatat keuntungan sebanyak RM 127 juta pada tahun lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tadi berkata kesemua hutang dan liabiliti berjumlah RM 150 juta itu dipindahkan ke Perbadanan Menteri Besar (MBI).

“Langkah tersebut membolehkan Unisel bebas daripada liabiliti dan bebanan bayaran hutang.

“Dengan ini juga, perbelanjaan Unisel akan berkurang di samping meningkatkan pendapatan,” jelas Abdul Khalid dalam sidang media selepas Sidang DNS.

Sebelum 2008, PIYSB-UNISEL mempunyai jumlah hutang sebanyak RM 150 juta daripada pinjaman terbitan Bithaman Ajil Islamic Debt Securities (BaIDS) dengan Affin Investment Bank Berhad.

Justeru itu, Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan UNISEL dan mengambil alih hutang tersebut.

Bayaran balik terbitan BaIDS telah mula dijelaskan pada tahun 2011 dan berakhir tahun 2022.

Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengeluarkan jumlah terhutang tersebut daripada Penyata Kewangan PIYSB bagi tahun 2011 oleh sebab bayaran balik pinjaman berjaya dilunaskan oleh Kerajaan Negeri melalui PIYSB.

Bagaimanapun, jumlah terhutang tersebut hanya boleh dikeluarkan daripada Penyata Kewangan PIYSB bagi tahun berakhir 31 Disember 2012.

Selepas penstrukturan hutang dilakukan UNISEL telah merekodkan keuntungan lebih RM 127 juta untuk tahun semasa.

Tiada ulasan: