Isnin, 5 November 2012

Umno: Karier politik Hadi akan tamat jika bertanding di Pekan




KUALA LUMPUR — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang umpama "membunuh karier politiknya" jika mengambil pendirian untuk bertanding menentang pemilik kerusi Parlimen Pekan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata pemimpin Umno.

Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Rahman Dahlan yang dihubungi The Malaysian Insider membayangkan Hadi akan menamatkan kariernya dalam politik dengan cara yang "amat memalukan" jika memilih Pekan sebagai lokasi untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Sebagai presiden parti, jika benar mahu bersara, pilih cara yang lebih baik ... bukan bersara dengan kekalahan.

"

Jika Hadi (gambar) bertanding di Pekan, dia tidak akan menang, tetapi bakal mengalami kekalahan besar," katanya.

Abdul Rahman bagaimanapun tidak melihat Najib, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pekan akan tergugat jika bertanding menentang Hadi.

"Belum ada sejarah perdana menteri yang berkhidmat tewas di kerusi yang ditandinginya.
"Kalau Hadi mahu mencipta sejarah memalukan legasi kepimpinan PAS, saya alu-alukan beliau bertanding di Pekan," tambahnya kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut sependapat dengan Rahman malah menegaskan Ahli Parlimen Marang itu sudah terlalu "takbur" apabila menyuarakan hasrat untuk bertanding di Pekan.

"Siapa Hadi ... beliau terlalu angkuh ... Tuhan hanya nak uji sahaja, sekarang dia rasa hebat untuk lawan perdana menteri.

"Orang Pekan tidak kenal Hadi ... saya yakin Hadi akan mengalami kekalahan dengan majoriti terlalu besar," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Samsul Bari Jamali hanya melihat tindakan Hadi itu sebagai "gimik politik" dan "retorik" menjelang pilihan raya umum.

Samsul Bari turut berkata, sekiranya Hadi benar-benar berhajat untuk bertanding di kawasan yang menjadi kerusi tradisi keluarga Najib itu, beliau tidak perlu menunggu keputusan parti, sebaliknya atas kuasa sebagai presiden, Hadi boleh memilih untuk bertanding di kawasan tersebut.

"Beliau presiden parti ... kenapa perlu tunggu parti ... kalau nak lawan, lawan betul-betul ... ini kononnya ingin tunjuk hebat.

"Dia (Hadi) presiden, dia yang buat keputusan ... tapi akhirnya serah kepada parti," katanya kepada The Malaysian Insider.

Samsul Bari turut menyindir Hadi yang belum tentu lagi akan menang sekalipun bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) selain Najib.

"Lawan calon lain beliau belum tentu akan menang ... saya tidak merasakan karier politik beliau akan tamat kerana Hadi tidak akan bertanding di Pekan," tegas Samsul Bari, dan menambah kenyataan Hadi itu semata-mata untuk menaikkan semangat anak-anak buahnya menghadapi pilihan raya umum.

Dipetik laporan Sinar Harian hari ini, Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan, Datuk Ishak Muhamad menyifatkan hasrat Hadi untuk bertanding di Pekan umpama "mimpi di siang hari."

Ishak menegaskan, Pekan adalah kubu kuat BN dan peluang Hadi untuk merampas kerusi Parlimen di situ tentunya amat tipis.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno bahagian, Datuk Abdul Manaf Sulong turut menyokong kenyataan Ishak yang mahu Abdul Hadi melupakan saja niatnya bertanding di Parlimen Pekan.

Abdul Manaf turut menegaskan perbandingan potensi kemenangan PAS di Parlimen Pekan berdasarkan Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 tidak lagi relevan kerana keadaan di sana kini telah banyak berubah.

Sementara itu, Adun Chini, Datuk Abu Bakar Harun turut mengingatkan pemimpin veteran PAS itu supaya tidak bertanding di Pekan kerana yakin rakyat Pekan bijak memilih pemimpin yang mampu membela nasib mereka.

Najib menang tanpa bertanding di Pekan ketika berusia 24 tahun selepas kemangkatan bapanya, bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada 1976.

Beliau sebelum ini pernah menerima kemenangan dengan majoriti kecil dengan kurang daripada 300 undi di Pekan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999.

Tiada ulasan: