Isnin, 19 November 2012

Suhakam beri dua minggu PDRM senaraikan anggota terlibat keganasan Bersih


KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini memberi tempoh dua minggu kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk menyenaraikan nama anggota polis terlibat dalam keganasan semasa perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 28 April yang lalu.

Dalam inkuiri yang berlangsung hari ini, saksi ASP Mohd Zulkarnain Abdul Rahman telah dipanggil kali kedua untuk memberi keterangan.

ASP Mohd Zulkarnain merupakan bekas ketua polis daerah Dang Wangi yang terlibat dalam operasi polis semasa perhimpunan berlangsung pada hari tersebut.

Menurut ASP Mohd Zulkarnain, ada pelbagai unit dalam anggota polis yang tidak berpakaian seragam pada masa itu.

“Kita ada pelbagai divisyen, SB (Cawangan Khas), dari Bukit Aman, Dang Wangi, Siasatan Jenayah.

“Mereka dibenarkan dalam prosedur untuk tidak memakai uniform bagi mengawal keselamatan,” kata ASP Mohd Zulkarnain dalam keterangannya.

ASP Mohd Zulkarnain kemudiannya ditanya oleh panel dari pihak Bersih tentang apa fungsi anggota polis yang tidak beruniform.

ASP Mohd Zulkarnain menjawab unit tidak beruniform ini perlu bagi memastikan polis dapat mengesan siapa yang memulakan keganasan dengan menyamar seperti orang biasa.

“Kalau semuanya memakai uniform, maka tidak ada keselamatan,” katanya.

Inkuiri pada hari ini juga menayangkan klip video yang menunjukkan keganasan anggota polis ke atas peserta perhimpunan Bersih pada 28 April lalu.

Dalam klip video tersebut terdapat beberapa orang dikatakan anggota polis tidak beruniform memukul peserta perhimpunan.

Terdapat juga anggota polis  beruniform bertindak ganas seperti memukul dengan belantan, menendang dan memijak peserta perhimpunan.

Inkuiri Bersih yang diadakan oleh Suhakam bertujuan mengenalpasti punca berlakunya keganasan dalam perhimpunan menuntut pilihan raya berish dan adil pada 28 April yang lalu.

Panel inkuiri yang diketuai Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu dengan ahli suruhanjaya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid and Detta Same.

Inkuiri seterusnya akan diadakan pada 21 November ini.

Tiada ulasan: