Rabu, 21 November 2012

SPR tubuhkan unit khas urus daftar pemilih

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Unit khas untuk menguruskan data pemilih seperti dituntut sebelum ini bagi membersihkan sebarang nama yang dicurigai akan diwujudkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata timbalan pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Isnin lalu, selepas perjumpaan SPR bersama ahli Parlimen - dianjurkan oleh Parlimen, Pakatan Rakyat (PR) mengesyorkan badan khas ditubuhkan untuk membuat semakan terhadap data daftar pemilih yang statusnya diragui setelah SPR mengakui kesilapan tidak menyemak semula data tersebut.

"Badan ini tugasnya hanya semak dan menyiasat, tak ada tugas lain," katanya dipetik dari Sinar Harian Online.

Menurutnya, ahli badan tersebut akan dipilih daripada pegawai-pegawai SPR sendiri, yang lebih memahami keadaan sebenar proses pilihan raya di Malaysia.

"Kita memang sedang mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan badan khas tersebut seperti dicadangkan sebelum ini dan kita masih tak cukup pegawai untuk laksanakannya.

"Kita akan pilih orang dalam dan kita sudah pun minta bantuan JPA, kita tak mahu orang luar masuk campur kerana mereka tak tahu mekanisme, dasar dan lain-lain yang akan memeberi masalah kepada kita.
," katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad (gambar) juga berkata, SPR telah memberi jaminan akan menyelesaikan isu pengundi yang  bermastautin di luar negara dengan membuat peraturan baru sebelum tarikh pilihan raya.
Katanya, peraturan baru itu akan diedarkan di Parlimen dalam masa terdekat tanpa perlu dibahas.

"Kita akan edar peraturan baru di Parlimen, mungkin minggu hadapan untuk pengundi yang berada di luar negara dan akan membuat hebahan besar-besaran ke seluruh negara.

"Namun mereka perlu pulang ke Malaysia sekali dalam tempoh lima tahun untuk menunjukkan rasa kesetiaan mereka pada negara, kalau mereka tak balik, mereka tak akan tahu perjalanan politik negara, siapa Ahli Parlimen, ini tak adil," katanya lagi.

Pada 28 April lalu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menganjurkan perhimpunan besar-besaran di ibu kota bagi menuntut reformasi pilihan raya dilaksanakan.

Perhimpunan tersebut bertukar menjadi ganas selepas penunjuk perasaan merempuh kawat dawai yang dipasang polis untuk menghalang orang ramai masuk ke Dataran Merdeka.

Surhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sedang melaksanakan inkuiri bagi menyiasat keganasan yang berlaku dalam perhimpunan tersebut.

Tiada ulasan: