Khamis, 29 November 2012

SPR tidak ikhlas laksana cadangan PSC: Anthony Loke

 Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) didapati gagal mengotakan janjinya untuk membenarkan warganegara Malaysia di luar negara untuk mendaftar sebagai pengundi pos pada hari terakhir sidang Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Ahli Parlimen DAP Rasah, Anthony Loke Siew Foke dalam kenyataan medianya berkata, SPR gagal menepati janji itu meskipun sudah berjanji dalam satu mesyuarat pada 19 November lalu untuk meminda peraturan pilihan raya bagi membenarkan pengundi luar negara mendaftar sebagai pengundi pos.

Anthony yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk Penambahbaikan Pilihan Raya berkata, pihak SPR sudah berkali-kali gagal mengambil langkah sewajarnya bagi membolehkan pengundi luar negara mendaftar sebagai mengundi.

Menurut beliau, ini bukan saja salah satu daripada lapan tuntutan BERSIH, ia juga merupakan cadangan di dalam laporan PSC untuk “Meluaskan kategori pengundi tidak hadir luar negara kepada semua warganegara Malaysia yang layak.”

Katanya, pihak SPR sendiri sudah bersetuju dengan cadangan itu dengan memetik sebuah kenyataan media pada April 2012 bahawa, “SPR sudah meneliti syor terbabit dan bersetuju  memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara yang berdaftar sebagai pemilih untuk mengundi secara pos.”

“Kegagalan SPR untuk membentang sebarang pindaan (di Parlimen) mengenai kelayakan pengundi luar negara untuk mengundi menunjukkan kerajaan Malaysia sebenarnya tidak ikhlas untuk mengadakan pilihan raya yang bersih, adil dan telus,” ujar Anthony yang juga Ketua Pemuda DAP.

Malah, beliau berkata, kegagalan SPR itu menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan Kerajaan Malaysia dalam melaksanakan semua cadangan penambahbaikan yang dikemukakan PSC, termasuk memastikan senarai daftar pemilih bersih daripada sebarang kepincangan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: