Khamis, 8 November 2012

‘Sekretariat Jejak’ Cari Waris Landasan Keretapi Maut




KUALA LUMPUR – PAS Perak menubuhkan satu ‘Sekretariat Jejak’ bagi mencari bekas kerahan dan waris rakyat Malaysia yang terlibat dalam pembinaan landasan maut sepanjang 415km Siam ke Burma pada perang dunia kedua 1942-1946.

Sekretariat ini dipengerusikan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menuntut penjelasan kerajaan berhubung pampasan ‘Wang Darah’ yang diberikan oleh kerajaan Jepun sebagai ganti rugi berjumlah RM207 bilion.

Menurutnya, terdapat satu nota yang disahkan oleh Gabenor Bank Negara bertarikh 13 Disember 2004 berhubung jumlah dana bernilai RM207 bilion.

Justeru, Nizar menuntut satu penjelasan adakah nota berkenaan sahih dan mempunyai kaitan dengan wang berkenaan.

“Ada surat-surat tertentu yang dikeluarkan Kementerian Kewangan kepada persatuan yang mengesahkan wang tersebut dalam simpanan mereka (kerajaan).

“Misalnya surat bertarikh 29 Mac, satu memo daripada Kementerian Kewangan kepada Pengerusi Persatuan Bekas dan Waris Buruh menyatakan bahawa sejumlah RM207 bilion itu diangkat untuk kelulusan kerajaan di mana prosesnya dimaklumkan kepada pejabat Peguam Negara dan peringkat Sumber Manusia.

“Perkara ini disahkan Menteri Kewangan, (wang) masih dalam simpanan. Kalau masih disimpan mengapa tidak diberikan kepada rakyat?” soal Nizar.

Menurut Nizar, seramai 72,000 rakyat Malaya pada ketika itu dikerah dan hanya 30,000 orang daripada mereka yang kembali ke Malaysia sementara selebihnya gagal dijejaki.

Sekembalinya mereka ke tanah air, satu pertubuhan dibentuk yang digelar Persatuan Kebajikan Bekas Dan Waris Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Ke Burma Tahun 1942-1946.

Mengikut pecahan, jumlah 30,000 ini mellibatkan 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain. Sekiranya mereka masih hidup, umur mereka di antara 80 hingga 85 tahun.

Jika wang berkenaan diagihkan kepada 30,000 bekas buruh dan waris, mereka bakal menerima pampasan bernilai hampir RM3 juta setiap seorang.

Pada 27 Julai 2011, pihak persatuan menulis satu surat kepada kerajaan bagi menanyakan status wang tersebut dan dimaklumkan bahawa wang itu diserahkan kepada Perbendaharaan Negara.

Jelas Nizar, beliau turut membangkitkan perkara ini pada sesi penggulungan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat namun tidak dijawab oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Husni Mohd Hanadzlah.

Sehubungan itu, semua waris dan bekas buruh berkenaan boleh menghubungi Sekreteriat Jejak melalui hotline 019-231 6539 dan 013-3266194.


Tiada ulasan: