Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dan tiga yang lain untuk membatalkan jawapan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok terhadap pernyataan pembelaan berhubung samannya mengenai kesilapan menangkap dan penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), empat tahun lepas.

Hakim Datuk Su Geok Yiam, yang membuat keputusan itu di dalam kamar, menetapkan 6 Disember untuk pengurusan kes, dan mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan rayuan mereka tentang isu-isu untuk dibicarakan sebelum tarikh itu.

Dalam prosiding semalam, Kok diwakili peguam K. Muralidharan manakala keempat-empat defendan diwakili peguam kanan persekutuan Lailawati Ali.

kuala terengganu by election 140109 syed hamid albarKok memfailkan saman pada 13 Mac 2009, terhadap Syed Hamid (kiri), Ketua Polis Negara pada masa itu Tan Sri Musa Hassan, DSP E Kim Tien dan kerajaan Malaysia.

Dalam penyataan tuntutannya Kok berkata dia ditangkap oleh defendan di pintu masuk kediamannya di Pearl Tower, OG Heights, jam 11.15 malam pada 12 September 2008, dan ditahan selama dua jam tanpa diberi kebenaran menghubungi saudara terdekat atau peguamnya.

Beliau mendakwa pada 2 pagi 13 September 2008, di Balai Polis Wangsa Maju, beliau telah dimaklumkan oleh defendan ketiga bahawa beliau ditahan di bawah Seksyen 73(1) ISA atas alasan telah melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan antara kaum.
  
Selanjutnya Kok mendakwa beliau telah dihantar ke sebuah tempat penahanan rahsia dan ditahan di situ sehingga 19 Sept, 2008, tanpa dibicarakan.
  
Beliau mendakwa tangkapan dan penahanannya dibuat tanpa alasan dan kerana kecuaian, tindakan sebelah pihak dan sesuka hati oleh defendan yang silap dalam menangkap dan menahannya, menyebabkannya mengalami tekanan mental, kesakitan dan keracunan makanan serta penafian hak perlembagaan baginya.
  
Kok menuntut kerugian akibat kesilapan menangkap dan penahanan beliau, kesakitan, tekanan mental, ganti rugi am dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama