Isnin, 19 November 2012

RM300 Juta Geran Selangorku Boleh Diguna Tanpa Kelulusan DNS




SHAH ALAM: Peruntukan RM300 juta bagi Geran Selangorku yang dilancarkan tahun lalu masih boleh dibelanjakan pada 2013 nanti kerana ia tidak termasuk dalam Belanjawan 2013 yang memerlukan kelulusan Dewan Negeri Selangor(DNS).

Geran untuk membiayai projek pembangunan kecil dan sederhana seperti membaiki longkang, menurap jalan dan membina jejantas itu juga merupakan satu peruntukan tetap yang boleh digunakan sehingga habis tanpa had jangkamasa tertentu.

Demikian menurut, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media di lobi Bangunan Annex Dewan Undangan Negeri Selangor selepas pembentangan Belanjawan 2013 hari ini.

“Geran Selangorku adalah satu peruntukan tetap RM300 juta dan buat masa ini ia masih tidak habis digunakan lagi.

“Sekarang data terakhir yang saya terima hampir RM200 juta digunakan dan oleh sebab itu duit Geran Selangorku yang tidak habis digunakan boleh digunakan pada tahun 2013,” ujar beliau.

Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada 2011 lalu, Abdul Khalid menyatakan bahawa geran ini berasaskan sumbangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri serta keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar Selangor(MBI) yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk daripada syarikat Talam Corporation serta penstrukturan semula Canal City.

Selain itu, Geran Selangorku ini juga diuruskan tanpa campur tangan Menteri Besar dalam menentukan pemberian peruntukan dan projek kerana tender terbuka diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah.

Tiada ulasan: