Rabu, 21 November 2012

Rapid: Azalina akan tetap saman Mazlan


KUALA LUMPUR — Datuk Seri Azalina Othman akan meneruskan tindakannya untuk mengemukakan saman terhadap Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Malaysia (Anak), Mazlan Aliman, kerana mendakwa Azalina mempengaruhi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memilih Pengerang bagi menjalankan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) kerana kawasan itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Saya sudah beri maklumat kepada peguam, dan peguam saya akan menyelesaikan perkara itu.

“Saya akan diberi maklumat berkaitan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditanya pemberita di Parlimen hari ini sama ada akan meneruskan saman terhadap Mazlan itu.

Jelas Ahli Parlimen Pengerang itu lagi, saman yang dikemukakannya itu adalah atas prinsipnya selaku ahli Parlimen kawasan pembangunan projek Rapid, dan bukan atas soal duit dan wang ringgit.

“Saya saman bukan sebab duit ... ia berdasarkan prinsip,” tegasnya.

“Inilah cara Mazlan, masuk kawasan orang, kemudian buat fitnah yang macam-macam,” katanya dan menambah, beliau yakin Mazlan tidak mempunyai sebarang bukti kukuh untuk mengaitkan pembangunan Rapid dengan dirinya.

“Mana bukti dia? Saya tahu dia memang tiada bukti,” katanya lagi.

Azalina (gambar) sebelum ini telah menggesa Mazlan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepadanya berhubung kenyataan Mazlan yang menurutnya berbaur fitnah dan tidak benar.

Azalina juga sebelum ini berkata Mazlan mempunyai hak untuk membantah, namun perlu membuat kajian sebelum mengeluarkan kenyataan yang berbaur tuduhan serta fitnah.

Beliau turut melihat, Mazlan sengaja menggunakan isu Rapid bagi mengambil kesempatan terhadap kedudukannya, agar rakyat memberi gambaran yang buruk kepada dirinya.

Tiada ulasan: