Khamis, 1 November 2012

Rakyat dihukum, kroni dimanjakan

 
Kerajaan Negeri Sembilan amat tegas menghukum rakyat walaupun tunggakan hanya kurang seribu ringgit. 



SEREMBAN: Rakyat dihukum tetapi kroni dan syarikat besar dimanjakan.

Nampaknya Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamad Hasan benar-benar melaksanakan slogan ‘rakyat didahulukan’.

“Ini terbukti apabila Kerajaan Negeri Sembilan amat tegas menghukum rakyat walaupun tunggakan hanya kurang seribu ringgit tetapi sangat bermurah hati dan berlembut apabila membabitkan syarikat besar dan kroni walaupun tunggakan mencecah puluhan dan ratusan ribu ringgit.

Itulah kenyataan tidak puas hati Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat PAS Negeri Sembilan semalam, bagi merujuk kepada sikap Menteri Besar dan kerajaan negeri.

Mohd Taufek mempertikaikan kenapa National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) diberikan keistimewaan apabila gagal menjelaskan tunggakan sewa tapak projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) sebanyak RM200,000 yang tertunggak sejak setahun lalu.

“Berdasarkan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang berkata bahawa Kerajaan Pusat akan memberi peluang kepada mana-mana syarikat lain yang berminat mengambil alih projek NFC, ternyata projek NFC ini gagal.

“Jika NFCorp gagal, kenapa diberi tempoh lagi. Sepatutnya Kerajaan Negeri perlu mengambil tindakan undang-undang untuk dapatkan semula tunggakan sewa tapak tersebut. Ia adalah hak rakyat dan hasil Kerajaan Negeri”, katanya yang juga ahli dewan undangan negeri Paroi.

Gagal kutip hutang


Mohd Taufek memberi satu lagi contoh dalam Laporan Audit 2011 untuk Negeri Sembilan mencatatkan syarikat Negeri Roadstone gagal mengutip hutang daripada syarikat pelanggan untuk tempoh yang agak lama.

Negeri Roadstone adalah sebuah anak syarikat milik Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) yang menjalankan operasi galian dan menjual batu-batan serta membina dan menurap jalan raya

.

“Laporan Audit tersebut menyatakan sebanyak 10 buah syarikat atau pelanggan Negeri Roadstone mempunyai hutang terkumpul secara keseluruhan sebanyak RM511,951.

“Contohnya ada pelanggan yang berhutang sebanyak RM214,085 selama 39 bulan (tiga tahun tiga bulan) dan satu lagi pelanggan berhutang sebanyak RM42,408 selama 58.5 bulan (empat tahun 10 bulan).

“Malah amat tidak patut apabila Negeri Roadstone tidak mengenakan sebarang caj faedah kepada penghutang.

“Dalam Laporan Audit juga disebut bahawa alasan yang diberikan oleh Negeri Roadstone sebab caj faedah tidak dikenakan ialah kerana ia akan menjejaskan hubungan baik di antara Negeri Roadstone dengan pelanggan.

“Tetapi bila seorang rakyat miskin gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah selama lapan bulan di Projek Perumahan Rakyat (PPR)

Bersepadu Senawang, sebanyak RM992.00, Kerajaan Negeri mengeluarkan notis sita untuk mengunci rumah individu tersebut.

“Saya bukan galak rakyat tak bayar sewa rumah PPR tetapi kenapa Kerajaan Negeri bertolak ansur dengan syarikat besar walaupun jumlah tunggakan amat besar tetapi dengan rakyat amat tegas sekali walaupun jumlah tunggakan yang agak kecil.

“Mungkin inilah yang dipanggil ‘rakyat didahulukan’ yang sering dilaung-laungkan oleh pemimpin Barisan Nasional”, sindir Mohd Taufek.

Mohd Taufek mengulas demikian merujuk kenyataan Mohamad semalam yang memberi kata dua kepada NFCorp menjelaskan hutang sewa tapak projek NFC sebanyak RM200,000 yang sudah tertunggak sejak setahun lalu.

Mohamad juga berkata jika NFCorp gagal jelaskan bayaran tunggakan dalam tempoh yang ditetapkan, kerajaan negeri akan batalkan sewa pajakan tapak tanah seluas 607 hektar (1,500 ekar) itu di Gemas.

Sebaliknya kerajaan negeri akan naikkan kadar sewa tapak tanah itu dalam perjanjian baru, kata Menteri Besar.

Tiada ulasan: