Selasa, 6 November 2012

Polis siasat The Malaysian Insider berikutan liputan kes hina Sultan di Facebook

TERKINI

 KUALA LUMPUR— Polis Johor telah memulakan siasatan jenayah fitnah terhadap The Malaysian Insider dan Malaysiakini berhubung liputan mengenai tangkapan minggu lepas terhadapseorang lelaki yang didakwa menghina Sultan Johor di laman sosial Facebook beliau.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Johor, ACP Nor Azizan Anan, berkata siasatan itu berikutan dua laporan polis yang dilakukan oleh polis negeri terhadap artikel yang disiarkan oleh kedua-dua portal berita mengenai penangkapan itu, lapor Berita Harian hari ini.

"Tentang penangkapan itu, The Malaysian Insider dan Malaysiakini menerbitkan artikel mengenai penyiasatan dan tangkapan pada Sabtu dan Ahad lepas.

"Berikutan penerbitan, polis Johor membuat dua laporan mengenai artikel dan penyiasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 500, Kanun Keseksaan," beliau dipetik berkata dalam akhbar harian Melayu itu.

ACP Azizan berkata, penulis artikel dan semua yang dinamakan dalam laporan akan dipanggil untuk siasatan.

Seksyen 500, Kanun Keseksaan, yang menggariskan hukuman untuk fitnah, menyatakan bahawa “barang siapa menfitnah seseorang hendaklah di seksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya”.

Ahmad Abd Jalil, juru ukur kuantiti berusia 27 tahun, telah ditahan oleh polis di pejabat beliau pada malam Jumaat lalu di bawah Akta Hasutan kerana tulisan di Facebook yang didakwa menghina Sultan Johor.

The Malaysian Insider melaporkan penangkapan dan peristiwa-peristiwa berikutnya tentang penahanan beliau pada hari Sabtu, memetik maklumat dari peguam Ahmad, Mohd Zakwan Adenan dan adik-beradik yang enggan dinamakan.

Pada hari Ahad, portal berita ini melaporkan mengenai kejadian itu, kali ini memetik bapa Ahmad Abd Jalil Abd Rahman, yang menyatakan ketakutan keluarganya atas keselamatan anaknya di bawah reman polis.

Semalam Abdul Jalil memberitahu The Malaysian Insider bahawa polis menahan semula anaknya, Ahmad Abd Jalil selepas seorang majistret Johor membebaskannya dari reman tiga hari, dengan memberitahu keluarga bahawa mereka bertindak atas perintah dari “orang atas” (pegawai atasan), dakwa seorang ahli keluarga.

“Ahmad dibebaskan secara sah oleh majistret. Akan tetapi polis mahu membawa beliau semula ke IPK. Kami berkeras mahu Ahmad pulang bersama kami. Polis masih…?” kata Abd Jalil Abd Rahman, dalam satu SMS kepada The Malaysian Insider.

IPK merujuk kepada “ibu pejabat polis kontigen”, dimana lelaki berusia 27 tahun di ditahan selama beberapa hari.

The Star semalam melaporkan pemangku ketua CID Johor, ACP Abd Aziz Ahmad berkata, kenyataan yang dikeluarkan di Facebook pada 21 Oktober menggambarkan Sultan Ibrahim tidak layak untuk memimpin negeri tersebut.

Menurut laporan tersebut lagi, Ahmad turut disiasat dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Tiada ulasan: