Isnin, 5 November 2012

Perangkap had laju PDRM kekal

 
PDRM tidak bercadang untuk memansuhkan sistem sedia ada dan akan meneruskan pemantauan trafik bagi mengawal keselamatan jalan raya.

 

Sekitar Dewan Rakyat 

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat untuk terus menggunakan sistem perangkap had laju Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan walaupun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diperkenalkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, pihaknya tidak bercadang untuk memansuhkan sistem sedia ada dan akan meneruskan pemantauan trafik PDRM bagi mengawal keselamatan jalan raya.

“Walaupun pendekatan baru melalui AES diperkenalkan, sistem sekarang yang digunakan oleh polis masih lagi dilaksanakan.

“Oleh kerana pendekatan yang baru itu dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), agensi berkaitan lain yang melaksanakan pemantauan jalan raya akan tetap jalankan tugas masing-masing,” katanya dalam Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen PAS-Jerai Mohd Firdaus Jaafar sama ada kerajaan akan memansuhkan sistem sedia ada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas memperkenalkan AES.

PDRM kini menggunakan kamera perangkap had laju berdefinisi tinggi (HD) dan berupaya merakam imej kenderaan yang melampaui had kelajuan dari jarak 1.2 km dengan kelajuan 320 kilometer sejam.

Manakala sistem kamera AES di bawah Kementerian Pengangkutan dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

Fasa pertama pelaksanaan AES mengenal pasti 63,558 pesalah trafik setakat ini, sama ada memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah

Tiada ulasan: