Selasa, 20 November 2012

Penstrukturan semula syarikat air untuk ringankan beban rakyat

Roketkini.com

SHAH ALAM: Tindakan Kerajaan PR Negeri Selangor menstrukturkan semula perkhidmatan industri air bagi meringankan beban rakyat di samping memastikan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat perkhidmatan yang lebih cekap berkesan pada kadar tarif yang munasabah.

Ketika ini industri perkhidmatan air dijalankan syarikat yang berlainan membabitkan empat konsesi tidak secara holistik menyebabkan pengurusan tidak cekap dan kos operasi yang membebankan pengguna melalui kenaikan tarif yang tinggi.

Empat syarikat konsesi terbabit ialah Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) yang mengedalikan rawatan dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) melakukan pengagihan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri bertanggungjawab menyediakan kemudahan asas kepada rakyat, termasuk bekalan air bersih dengan kadar tarif berpatutan.

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri tidak sepatutnya membayar pampasan terlalu tinggi kepada syarikat  konsesi air berkenaan kerana syarikat itu sudah memperolehi pulangan dan keuntungan yang tinggi.

Bagi mencapai maksud itu, selain memberi 20 meter padu air percuma kepada setiap meter individu rakyat Selangor, kerajaan negeri juga berhasrat mengambil alih sepenuhnya syarikat konsesi yang membekalkan perkhidmatan air negeri.

“Kerajaan negeri sudah mengemukakan tawaran sebanyak tiga kali bagi mengambilalih syarikat konsesi Puncak Niaga, Syabas, ABASS dan SPLASH, tetapi semua syarikat itu menolak.” katanya.

Menjawab soalan Adun Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz, Abdul Khalid berkata, tawaran itu termasuk nilaian aset, ekuiti dan liabiliti termasuk bon yang ditanggung konsesi yang memberi keuntungan sebanyak 12 peratus kepada pemegang konsesi.

“Jika pemegang konsesi tidak bersetuju dengan tawaran, kerajaan negeri akan merujuk kepada Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa untuk menentukan  nilai pasaran supaya pemegang saham dibayar pampasan adil dan munasabah,” katanya.

Setakat ini, penstrukturan semula industri perkhidmatan air di bawah model holistik masih belum dapat dimuktamadkan kerana syarikat konsesi menuntut nilai pampasan lebih tinggi.

Beliau yang juga ADUN Ijok berkata, dalam menentukan nilai pampasan, kerajaan negeri perlu mengambil kira kepentingan rakyat dan pada masa yang sama nilai itu tidak merugikan mana-mana pihak.

“Melalui penstrukturan semula itu, perjanjian penswastaan air akan ditamatkan dan pengguna tidak perlu lagi dibebankan dengan kenaikan tarif tidak lebih 12 peratus setiap tiga tahun.

“Hasrat ini boleh dicapai melalui syarikat operator yang dimiliki kerajaan negeri bukan melalui syarikat persendirian yang mementingkan keuntungan semata-mata,” katanya.

Model holistik yang dicadangkan bagi menyelesaikan semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan menjamin pengurusan air dengan cekap, berkesan, berintegriti dan tidak membebankan rakyat.

Ketika ini, industri perkhidmatan air dijalankan tidak secara holistic yang mana rawatan dan agihan dikendalikan pihak yang berlainan membabitkan empat konsesi iaitu Puncak Niaga, SPLASH dan ABASS mengendalikan rawatan manakala agihan dikendalikan Syabas.

Pada 16 Januari 2008, Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya Kumpulan Darul Ehsan Berhad mengambil alih operasi dan penyelenggaraan bagi rawatan dan pembekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk Loji Langat 2. – Roketkini.com

Tiada ulasan: