Jumaat, 30 November 2012

Penemuan gas: Royalti Sarawak wajar dinaik 20%

Harakahdaily,



Arifiriazul menunjukkan keratan akhbar mengenai penemuan terbaru simpanan gas di perairan Miri.

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Sarawak bersyukur dengan penemuan terbaru simpanan gas (gas reserve) di perairan Miri oleh Petronas baru-baru ini.

Penemuan gas di lapangan Kuang Utara dan Tukau Timur itu dianggarkan mempunyai simpanan gas sebanyak 4.4 TSCF (trillion standard cubic feet).

“Penemuan terbaru ini menunjukkan Sarawak ialah negeri yang kaya dengan hasil asli terutama hasil minyak dan gas,” kata Ketuanya, Mohd Arifiriazul Paijo.


Justeru, ujarnya hasil gas itu hendaklah dimanfaatkan untuk kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sarawak, sesuai dengan tuntutan Islam untuk sesuatu hasil hendaklah dibelanjakan untuk negeri tersebut sebelum dipindahkan kepada kerajaan pusat.

Tambahnya, fokus utama hendaklah diberikan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti lebuhraya, kemudahan air bersih dan elektrik di seluruh Sarawak serta program-program mensifarkan kemiskinan di kalangan rakyat Sarawak.

“Kami menganggarkan pendapatan sebanyak RM43 billion sepanjang operasi pengeluaran gas daripada dua lapangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dengan menganggarkan operasi pengeluaran selama 20 tahun, hasil tahunan daripada penemuan terbaru ini ialah RM2.16 billion setahun.

“Kami meneruskan tuntutan 20% royalti daripada hasil pendapatan tersebut yang dianggarkan RM430 juta setahun bermula daripada tahun pengeluaran pertama,” ujarnya lagi.


Dengan jumlah royalti tahunan sebesar itu, katanya kemiskinan di Sarawak dengan kadar 5.3% mampu disifarkan sepenuhnya hanya dalam masa setahun.

Dalam masa yang sama, kata beliau sekiranya keseluruhan hasil daripada 20% royalti gas ini dijumlahkan untuk 20 tahun operasinya, kerajaan negeri akan memperoleh hampir RM9 bilion yang dianggarkan mampu membina sekitar 60,000 buah rumah mampu milik untuk rakyat Sarawak yang memerlukan.


Sehubungan itu, katanya Kerajaan Negeri Sarawak hendaklah sedar bahawa hasil minyak dan gas Sarawak ialah milik rakyat Sarawak dan hendaklah dikembalikan kepada rakyat Sarawak.

“Hasil royalti 20% selaras dengan tuntutan NGO R dan Pakatan Rakyat ini hendaklah disokong oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

“Janganlah berslogan juara rakyat tetapi tidak mahu membela nasib rakyat sendiri,” katanya lagi.

Tiada ulasan: